KUALA LUMPUR – Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing terus melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun apabila berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi, bekas juara remaja dunia itu menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-10, 21-15.
Turun sebagai pasangan bukan pilihan, Aaron-Khai Xing berjaya menampilkan aksi cukup konsisten dalam kedua-dua set permainan sehingga menyebabkan beregu No.17 dunia itu berdepan kesukaran.
“Kami gembira dengan permainan hari ini kerana persiapan berjalan cukup baik. Kami berjaya melaksanakan tugas, terutamanya ketika tiga pukulan pertama selain tidak menghantar bola tinggi kepada mereka,” kata Khai Xing kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kemenangan itu menyaksikan kedua-dua pemain berkenaan mengekalkan rentak cemerlang selepas turut membenam pilihan ketujuh dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi di pusingan pertama kelmarin.
Menjelang aksi suku akhir esok, Aaron-Khai Xing akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu No.1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dan Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dari Jepun.
Turut melangkah ke suku akhir adalah beregu campuran, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang melakar kejutan ke atas pilihan keenam dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 23-21, 24-22.
Bagaimanapun, hasrat perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk meneruskan kemaraan tidak tertunai selepas tewas kepada lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE














