fbpx
Antara spesimen saiz kasar dari Sungai Jelai, Pahang.

‘Si kelah hitam’ spesies semakin sukar ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bagi pemancing yang biasa meneroka Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Tembeling, ikan jengkua bukanlah nama asing. Dahulu, spesies ini sering menjadi tangkapan ketika memancing menggunakan dedak di kawasan lubuk dalam.

Kini, kemunculan ia semakin sukar ditemui dan ramai pemancing mungkin tidak pernah melihat sendiri spesies yang sering digelar sebagai ‘kelah hitam’ ini.

Secara saintifik, jengkua dikenali sebagai Labeo chrysophekadion dan tergolong dalam keluarga Cyprinidae iaitu keluarga ikan kap. Menariknya, jengkua merupakan saudara rapat kepada ikan rohu yang biasa diternak di kolam dan sangkar.

Kedua-duanya berasal daripada genus Labeo, namun jengkua memiliki penampilan jauh berbeza dengan warna badan hitam gelap yang menjadi identitinya.

Spesies ini turut dikenali sebagai Black Sharkminnow atau Black Labeo. Nama tersebut merujuk kepada bentuk sirip dorsalnya yang tinggi dan tegak, menyerupai sirip ikan yu.

Profil
Ketika masih juvenil, keseluruhan tubuhnya berwarna hitam legam sehingga masyarakat tempatan menggelarnya sebagai ikan hangus atau temunit. Apabila membesar, warna tersebut berubah menjadi kelabu gelap dengan kilauan keemasan halus pada sisiknya.

Jengkua mampu membesar sehingga hampir satu meter panjang dan mencapai berat melebihi tujuh kilogram. Bibirnya yang tebal dan berumbai pula berfungsi sebagai alat untuk mengikis lumut dan alga yang melekat pada batu serta kayu di dasar sungai.

Di Semenanjung Malaysia, taburan jengkua agak terhad dan banyak direkodkan dalam sistem Sungai Pahang termasuk Sungai Jelai dan Sungai Tembeling.

Habitat kegemarannya adalah kawasan lubuk dalam, dasar berbatu, reba kayu dan aliran sungai yang bersih serta mempunyai kandungan oksigen tinggi. Kehadiran spesies ini sering dikaitkan dengan sungai yang masih berada dalam keadaan baik dan kurang tercemar.

Melalui tabiat pemakanannya, jengkua membantu mengawal pertumbuhan alga secara semula jadi dan memastikan habitat sungai kekal seimbang.

Ilustrasi ikan jengkua, warna spesimen dewasa biasanya hitam dan gelap keseluruhannya hingga ada yang memanggilnya ikan hangus.

Dalam dunia memancing, jengkua mung­kin tidak sepopular kelah atau ­sebarau, namun spesies ini tetap mempunyai peminat tersendiri. Walaupun makanan semula ja­dinya terdiri daripada lumut dan alga, jengkua sangat tertarik kepada umpan berasaskan dedak dicampur perisa buah-buahan.

Teknik yang sering digunakan adalah perambut spring dengan empat atau lima mata kail. Dedak yang digaul bersama perisa dikepal pada spring sebelum dilontar ke kawasan sasaran.

Apabila jengkua datang menyedut dedak tersebut, mata kail yang tersembunyi akan melekat pada mulutnya.

Ikan ini gemar meluru ke arah reba atau struktur di dasar sungai hingga menyebabkan pemancing perlu menggunakan tali sesuai bagi mengelakkan geseran dan risiko putus.

Waktu terbaik untuk memburunya adalah pada awal pagi atau lewat petang.

Jengkua juga mempunyai nilai dalam pasaran ikan hiasan kerana bentuk badan dan warnanya yang unik.

Dalam kalangan masyarakat tempatan pula, spesies ini turut dijadikan hidangan. Dagingnya berwarna putih, pejal dan mempunyai rasa manis, sekali gus menjadikannya sesuai dimasak sebagai gulai tempoyak, masak lemak cili api atau stim limau. Namun begitu, masa depan jengkua bergantung kepada kelestarian habitat semula jadinya.

Aktiviti penerokaan tanah, pencemaran sungai dan perubahan landskap kawasan tadahan air sedikit demi sedikit memberi tekanan kepada populasi spesies ini.

Sebagai salah satu khazanah asli Sungai Pahang, jengkua mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar ikan tangkapan.

Kehadirannya membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem dan menjadi sebahagian daripada warisan biodiversiti negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN