PONTIAN – Sebuah rumah pusaka berusia lebih setengah abad di Kampung Parit Abas, Benut di sini, memiliki khazanah bernilai apabila menyimpan hampir 200 koleksi lama berupa barangan tembaga yang sukar ditemui ketika ini.
Jasman Mohd. Basar, 66, berkata, koleksi milik arwah bapanya, Mohd. Basar Mujir itu merangkumi dulang tembaga, tepak sirih, piala, pinggan mangkuk serta pelbagai peralatan yang pernah digunakan dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
Katanya, selain mengumpul, bapanya turut menghasilkan sendiri bingkai dan penutup khas bagi memastikan setiap koleksi sentiasa terpelihara daripada kerosakan.
“Arwah sangat teliti. Setiap barangan disusun dan dijaga rapi kerana baginya, semua koleksi ini mempunyai nilai sejarah yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit,” katanya.
Menurut Jasman, minat bapanya terhadap barangan antik turut dipengaruhi Allahyarham datuknya, Mujir Karso yang merupakan seorang tukang membaiki jam di Pekan Rengit, Batu Pahat sekitar tahun 1950-an dan 1960-an.
“Masih terdapat lebih 20 jam dinding pelbagai jenama yang menggunakan kunci untuk diputar tergantung di dinding rumah ini,” katanya.
Selain koleksi tembaga, rumah itu turut menyimpan pelbagai khazanah lama seperti acuan bahulu cermai dan bahulu besar, wang kertas serta syiling lama, radio klasik, seterika lama, pam racun, peralatan memateri dan pelbagai barangan lain yang semakin sukar ditemui.















