ALOR SETAR – Kes buli membabitkan pelajar sekolah di Kedah mencatatkan penurunan drastik apabila hanya tujuh kes direkodkan sehingga bulan lalu berbanding 43 kes sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, ia melibatkan dua kes di sekolah rendah dan lima kes di sekolah menengah.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga kes berlaku di sekolah dalam daerah Kubang Pasu, diikuti dua kes di Kuala Muda serta masing-masing satu kes di Kota Setar dan Pendang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, bagi statistik kes buli tahun lalu, sebanyak 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah serta masing-masing satu kes di sekolah persendirian dan maahad tahfiz.
“Daerah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi ialah Kuala Muda dengan 17 kes, diikuti Kulim (enam), Kubang Pasu (lima), Pendang (tiga), Sik (tiga), Baling (tiga), Kota Setar (dua), Langkawi (dua), Yan (satu) dan Bandar Baharu (satu),” ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, berlaku penurunan yang drastik pada tahun ini.
“Jika dilihat pada pola tahun lepas bagi tempoh sama, dalam tempoh enam bulan sahaja kes boleh mencecah sekurang-kurangnya 20 kes, tetapi tahun ini hanya tujuh kes direkodkan,” ujarnya.
Beliau percaya penurunan kes itu adalah hasil kempen anti buli yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, dalam kalangan masyarakat serta menerusi media. – KOSMO! ONLINE















