PUTRAJAYA – Bersempena Hari Badminton Sedunia 5 Julai lalu, ASICS Malaysia meraikan sukan paling diminati rakyat negara ini menerusi penganjuran program interaktif di IOI Sports Centre, Putrajaya.
Acara yang menghimpunkan peminat badminton, wakil media, pencipta kandungan dan tetamu lain itu diadakan bertujuan mempromosikan gaya hidup aktif selain memberi peluang kepada peserta merasai sendiri teknologi terkini kasut badminton ASICS dalam suasana permainan sebenar.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan ASICS dalam menyokong pembangunan sukan badminton menerusi pengalaman bermain yang interaktif, selaras dengan falsafah jenama itu, Sound Mind, Sound Body.
Sepanjang program, para peserta berpeluang menguji prestasi kasut badminton terbaharu ASICS, iaitu Court Control FF 4 dan Blade FF 2, sebelum mengikuti klinik badminton yang memberi pendedahan mengenai pelbagai gaya permainan, teknik serta strategi di gelanggang.
Program turut dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan dan pelbagai aktiviti interaktif yang menggalakkan semangat kesukanan, gaya hidup aktif serta hubungan erat dalam kalangan komuniti badminton.
Bekas pemain Olimpik negara, Soniia Cheah, serta bekas pemain badminton kebangsaan yang juga ahli psikologi sukan sedta jurulatih, Daphne Ng turut hadir.
Mereka berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai prestasi atlet, kekuatan mental dan pembangunan kemahiran teknikal sepanjang sesi berlangsung.
Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib berkata, badminton merupakan sukan yang dekat di hati rakyat Malaysia kerana mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai lapisan.
“Melalui sambutan Hari Badminton Sedunia ini, kami mahu mencipta satu pengalaman yang bukan sahaja mengetengahkan inovasi ASICS, malah meraikan semangat, tenaga dan keakraban yang terhasil melalui sukan.
“ASICS akan terus komited menyokong atlet dan peminat sukan menerusi penghasilan produk inovatif serta penganjuran pelbagai aktiviti yang menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya. – KOSMO! ONLINE















