TAMPIN – Keadaan tasik di Taman Rekreasi Tampin, di sini kini sangat menyedihkan serta didakwa semakin terbiar apabila dipenuhi rumpai serta kurang penyelenggaraan sejak lebih dua tahun lalu.
Rozana Rosli, 42, berkata, lokasi beriadah itu sepatutnya dibersihkan dan diselenggara lebih kerap.
“Dahulu kawasan ini memang cantik dan terkenal, sayang kalau dibiarkan begitu sahaja.
“Ada beberapa infrasturktur seperti jambatan gantung juga perlu dibaik pulih kerana ada kayu yang sudah patah,” katanya.
V. Manicam, 59, dari Batu Belang berkata, keadaan air tasik kini kelihatan lebih kotor.
“Dulu air tasik ini jernih, boleh nampak dasar. Sekarang banyak rumpai dan air pun tidak secantik dahulu. Kalau dibersihkan dan dibaik pulih semula, orang ramai yang datang berjoging lebih selesa,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini kawasan itu mempunyai pelbagai tarikan termasuk taman mini yang menempatkan beberapa haiwan seperti buaya dan landak.
“Walaupun terdapat beberapa kerja penambahbaikan dilakukan di bahagian tertentu, usaha lebih menyeluruh diperlukan bagi mengembalikan kegemilangan kawasan rekreasi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Suriani Salihan ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan menyelenggara kembali tasik tersebut.















