fbpx

‘Kadang-kadang terlalu toksik’ – Arabella nafi guna kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU setahun jagung menempa nama dalam industri hiburan tempatan, rezeki kini menyebelahi Arabella Ellen apabila laluannya menjadi penyeri naskhah drama televisyen semakin benderang.

Setahun selepas dijulang sebagai naib juara Dewi Remaja 2023, Arabella ditawarkan watak utama dalam drama Dari Mata Turun Ke Hati. 

Bukan hanya itu, dia juga menggalas watak utama dalam telefilem pertamanya berjudul Overnight Wali pada tahun sama. 

Terbaharu, dia sekali lagi diberi tanggungjawab membawakan watak utama menerusi naskhah berjudul Wishlist. 

Optimis menyahut tawaran besar tersebut dengan semangat ingin mencuba, pemilik nama lengkap Arabella Ellen Mohd. Yahya John Robert Nelson itu mengakui watak-watak utama yang dijayakannya tidak ubah seperti buku yang harus dihadam seperti watak-watak lain, bezanya tanggungjawab menjadi lebih berat. 

Melakonkan watak utama utama juga bukan lagi sesuatu yang canggung buat dirinya. 

“Saya tidaklah terlalu terkejut kerana saya sudah banyak terlibat dalam siri-siri lain sebagai pelakon utama. 

“Jadi bukanlah satu kejutan tetapi lebih kepada rasa bersyukur. 

“Bagi saya perkara ini tidak perlu terlalu diperbesarkan kerana seperti yang dikatakan, ini adalah rezeki masing-masing. 

“Pada akhirnya, berbalik kepada diri sendiri untuk fokus pada kerja. Kita tak boleh berbuat apa-apa tentang apa yang orang akan kata atau bandingkan,” katanya kepada HibGlam

Ditanya mengenai populariti dan peluang yang diraihnya lebih ‘lebat’ berbanding rakan seperjuangan walaupun sekadar bergelar naib juara, Arabella memilih untuk tidak memperbesarkan perkara tersebut. 

Baginya, sebarang spekulasi mahupun tuduhan terhadapnya tidak akan memberi impak terhadap karier yang sedang dibina.

BERDARAH kacukan Melayu-Inggeris, Arabella kini antara wajah pelaris di kaca televisyen. – IQBAL ROSLI

“Akhir-akhir ini memang ramai yang suka membandingkan orang lain. Saya rasa itu bukanlah satu perkara yang baik untuk dilakukan. 

“Pada masa yang sama, saya jenis yang tidak kisah dengan apa yang orang mahu katakan kerana saya jarang membaca komen. 

‘Orang dalam’

“Saya hanya menjadi diri sendiri dan lakukan apa yang saya tahu kerana ramai orang di luar sana tahu bagaimana diri saya yang sebenar terutama rakan-rakan rapat dan keluarga saya. 

“Jadi, apabila orang membuat cerita tentang saya di mana sekali pun, tidak memberi kesan kepada saya,” ujarnya.  

Malah, pelakon drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup itu juga tidak menafikan pernah berdepan dengan fitnah konon dia mendapat laluan mudah dalam industri atas bantuan ‘orang dalam’.

“Ada sahaja (orang buat cerita). Semenjak saya menyertai program Dewi Remaja lagi memang sudah ada spekulasi tentang saya mempunyai kabel. 

“Tetapi perkara itu sebenarnya tidak benar. Kadang-kadang saya terfikir juga mengapa ada orang yang sanggup berkongsi sesuatu yang tidak benar. 

“Lama-kelamaan saya sudah tidak kisah lagi tentang perkara itu,” jelasnya.

Arabella enggan melayani tuduhan tersebut kerana hanya mahu fokus memberikan yang terbaik dalam kerjaya. 

“Ya (tak layan) kerana kadang-kadang boleh menjadi terlalu toksik. Saya mahu meneruskan hidup saya kerana saya baru berumur 21 tahun. 

“Saya cuba memberikan yang terbaik dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga,” luahnya. 

Bergandingan dengan Qi 

Berkongsi mengenai projek terbaharunya, Wishlist, wanita berdarah campuran Melayu-Inggeris itu menghidupkan watak Safa yang cuba menunaikan senarai impiannya bersama watak hero lakonan Lorenzo Irmann. 

“Watak Safa ini merupakan seorang yang sangat degil dan keras kepala tetapi dia berdikari. 

“Siri ini mengisahkan Safa yang cuba menunaikan impiannya dan Umai iaitu watak hero yang dilakonkan Lorenzo. 

“Bagi saya, untuk membawakan karakter ini sebenarnya tidaklah terlalu berat kerana saya rasa sangat seronok menjalani penggambaran drama ini kerana bergenre romantik,” ujarnya. 

ARABELLA kini muncul dengan drama Wishlist bergandingan dengan Lorenzo Irmann arahan Michael Ang.

Mengulas lanjut, dia juga teruja dapat bergandingan dengan Qi Razali dan menganggap peluang tersebut sebagai satu impian yang menjadi kenyataan walaupun terselit rasa gementar pada awalnya. 

“Saya memang sudah lama teringin untuk berlakon bersama abang Qi. Sebelum ini kami pernah terlibat dalam siri sama iaitu Generasi: Perfect 10 tetapi saya tidak mempunyai sebarang babak dengannya. 

“Jadi, apabila saya dapat drama ini dan berlakon bersama abang Qi, sememangnya satu impian yang menjadi kenyataan. 

Kita semua tahu bagaimana Abang Qi, setiap kali mahu menjalani penggambaran babak dengannya, jika ada perkara saya tidak faham, dia pasti akan membantu saya,” tutupnya. 

Wishlist arahan Michael Ang mula ditayangkan pada 24 Jun lalu setiap hari Rabu dan Khamis pada pukul 9 malam. 

Selain Arabella, naskhah terbitan Astro tersebut turut dibintangi Sharifah Zarina, Ramona Zamzam dan ramai lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN