TEMERLOH – Seramai 13 lelaki didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh di sini hari ini atas pertuduhan berlagak seperti wanita dan berpakaian tidak sopan di tempat awam.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Norhisham Ahmad.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 dan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Busu Firdaus Abu Bakar, manakala kesemua 13 tertuduh diwakili peguam Muhammad Syarafi Mohd. Salleh yang dibantu Muhammad Nur Helmi Abdul Hamid.
Mahkamah turut membenarkan kesemua 13 tertuduh diikat jamin antara RM500 hingga RM700 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 22 September depan sebagai tarikh perbicaraan selepas kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) memilih untuk menafikan pertuduhan dan mempertahankan diri melalui proses perbicaraan.
Dalam pada itu ketika ditemui selepas prosiding Muhammad Syarafi berkata, semua anak guamnya membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon supaya kes mereka dibicarakan.
Katanya, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan itu memandangkan semua tertuduh didakwa di bawah transaksi dan fakta kes yang sama, sekali gus membolehkan perbicaraan dijalankan secara serentak bagi melancarkan prosiding.
Beliau berkata, dalam tempoh sebelum perbicaraan, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan semua dokumen berkaitan kes termasuk kertas pertuduhan serta dokumen pendakwaan bagi membolehkan penelitian menyeluruh dibuat sebagai persediaan pembelaan.
“Setakat hari ini pihak pembelaan masih belum menerima dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan. Dokumen berkenaan penting bagi membolehkan kami meneliti keseluruhan fakta kes sebelum perbicaraan bermula,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















