PETALING JAYA – Pelakon Emma Maembong menyifatkan DJ Kidd kini jauh lebih matang dan banyak berubah berbanding ketika awal perkenalan mereka sehingga membuka ruang untuk kembali menjalinkan hubungan.
Ujar Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 34, hubungan mereka bermula secara tidak disangka selepas lelaki terbabit mengirim salam menerusi rakan mereka sejurus dia bercerai.
“Selepas bercerai, ada orang sampaikan salam. Kawan dia ialah kawan saya. Kami pernah menjalani penggambaran bersama.
“Ketika penggambaran, dia membuat panggilan video. Saya menegur dan mengajaknya keluar lepak. Sejak hari itu, kami terus berkawan sehingga sekarang,” katanya menerusi siaran langsung TikTok.
Tambah pelakon drama Seribu Tahun itu, perubahan sikap DJ Kidd menjadi antara faktor membuatkan hubungan mereka kembali erat.
“Dulu, masa mula kenal dia cepat melenting. Sekarang tidak lagi. Ramai juga pasangan seusia saya atau bercinta dengan lelaki lebih muda menyokong hubungan kami.
“Bagi saya, kita perlu banyak mengalah dengan pasangan lebih muda. Kita layan sahaja. Sekarang saya pula macam budak-budak, dia pula semakin matang,” ujarnya.
Turut berada dalam siaran langsung tersebut, DJ Kidd atau nama sebenarnya Nur Irfan mengakui pengalaman kehilangan membuatkan dia lebih menghargai hubungan dan berusaha memperbaiki kelemahan diri.
“Saya sedar kehilangan itu sangat menyakitkan. Sebab itu saya ubah banyak perkara demi Emma.
“Kami sama-sama memperbaiki hubungan. Kalau bergaduh, jangan cepat mengeluarkan kenyataan dalam media sosial atau terus menyekat nombor telefon pasangan. Selesaikan sahaja dengan baik,” jelasnya.
Perkongsian pasangan itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ramai meluahkan rasa gembira melihat hubungan mereka kembali terjalin.
Sebelum ini, Emma mengakui sedang berkawan rapat dengan DJ Kidd sehingga mencetuskan perhatian ramai.
Bagaimanapun, pada Mac lalu DJ Kidd memaklumkan hubungan mereka sudah berakhir menerusi Instagram selain meminta orang ramai berhenti bertanyakan mengenai Emma kepadanya.
Emma turut mengesahkan perpisahan tersebut dan mengakui terkilan apabila pengakuan itu dibuat terlalu awal dalam media sosial.
Namun, selepas sekitar dua bulan membawa haluan masing-masing, nama mereka kembali menjadi bualan apabila foto berdua tular dalam media sosial, sekali gus memberi bayangan hubungan cinta mereka kembali bertaut. – KOSMO! ONLINE















