PETALING JAYA – Malaysia dan Singapura menyambut baik kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan pelan induknya dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara hasil perbincangan ketika kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura, perkembangan serantau serta pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.
“Kami turut menyambut baik kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), termasuk usaha memuktamadkan pelan induk JS-SEZ dalam masa terdekat.
“Inisiatif strategik ini bakal memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu turut menyentuh perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh antara Malaysia dan Singapura.
“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk terus menyelesaikan apa jua isu yang masih berbangkit melalui rundingan yang konstruktif, berlandaskan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah dipersetujui bersama,” katanya.
Beliau turut berharap hubungan Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE















