PUTRAJAYA – Alasan penghakiman majoriti menyatakan, tiada keterangan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memperoleh manfaat peribadi daripada wang RM1 juta atau mana-mana bahagian daripada wang itu dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, dalam keadaan sedemikian, Syed Saddiq tidak boleh dikatakan bersubahat melakukan kesalahan pecah amanah kerana elemen penting tidak dipenuhi.
“Oleh kerana kesalahan utama itu tidak dapat dibuktikan, maka secara logiknya pihak pendakwaan juga gagal membuktikan elemen kesalahan di bawah Seksyen 108 Kanun Keseksaan (persubahatan),” katanya.
Pada masa sama Hakim Collin menyatakan Mahkamah Rayuan membuat keputusan betul apabila menyimpulkan, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati pelupusan RM1 juta melanggar perlembagaan Bersatu.
Beliau berkata, keterangan membuktikan selepas pengeluaran RM1 juta itu, bekas Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13) mengagihkan masing-masing RM650,000 kepada Daniel Kusari (saksi pendakwaan kesembilan) (SP9) dan RM250,000 kepada Naqib Ab Rahim (saksi pendakwaan kelapan ).
Katanya, SP9 memberi keterangan bahawa Rafiq Hakim menyerahkan kepadanya RM650,000 bagi program Armada, dan daripada jumlah itu RM263,700 dibelanjakan untuk program berkenaan.
Menurut Collin SP8 pula memberi keterangan, selepas menerima RM250,000 daripada Rafiq Hakim, beliau memulangkan RM100,000 kepadanya atas arahannya (Rafiq Hakim) bahawa wang itu adalah untuk program Armada.
“Oleh itu, Mahkamah Rayuan adalah betul apabila memutuskan bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Armada oleh SP13 tidak boleh dikatakan sudah digunakan atau dilupuskan dengan melanggar arahan undang-undang,” kata hakim itu lagi yang bersetuju dengan dapatan dan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pertuduhan bersubahat terhadap Syed Saddiq.
Sementara Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dalam penghakimannya berkata, bahawa tafsiran perkataan ‘perbelanjaan’ dalam kes dihadapi Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak boleh disamakan dengan ‘pengeluaran wang’ kerana kedua-duanya membawa maksud berbeza.
“Tindakan Rafiq Hakim mengeluarkan RM1 juta daripada akaun sayap pemuda Bersatu semata-mata, tidak boleh disamakan dengan kesalahan pecah amanah jenayah.
“Perlembagaan parti hanyalah satu set peraturan dalaman parti politik. Pelanggaran terhadapnya mungkin mengundang tindakan disiplin parti tetapi tidak semestinya merupakan satu kesalahan jenayah.
“Sekiranya terdapat dua tafsiran yang munasabah terhadap sesuatu peruntukan, tafsiran yang memihak kepada tertuduh hendaklah diterima,” katanya.
Terdahulu Syed Saddiq kekal dibebaskan atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan di sini.
Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Che Mohd. Ruzima dan Collin Lawrence.
Hakim Che Mohd. Ruzima dan Hakim Collin membentuk majoriti manakala Hakim Abu Bakar menentang dengan menyampaikan keputusan berbeza.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE















