fbpx
MBAPPE dan Dembele terus menjadi sandaran Perancis apabila dianggap gandingan paling ampuh apabila meledak 13 gol setakat ini. - AFP

Piala Dunia 2026: Perancis turun tanpa tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALLAS – Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui teruja apabila hanya selangkah untuk melakar satu lagi sejarah gemilang apabila membantu Les Bleus memburu penampilan ketiga berturut-turut di pentas final Piala Dunia.

Bagaimanapun, laluan Perancis bukan mudah apabila mereka perlu menyingkirkan musuh tradisi, Sepanyol pada aksi separuh akhir di Stadium Dallas, awal pagi esok.

Jika berjaya melepasi halangan La Roja, Perancis akan mara ke final buat kali kelima dalam lapan edisi Piala Dunia sejak 1998, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara kuasa terbesar bola sepak moden.

Menurut Deschamps, barisan pemain akan turun tanpa sebarang tekanan kerana sudah berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan dengan layak ke separuh akhir.

“Kami kini berada tepat di kedudukan yang kami impikan. Saya percaya pasukan ini akan pulih sepenuhnya dan yakin seluruh peminat Perancis teruja menantikan perlawanan separuh akhir nanti.

“Buat masa ini, kami langsung tidak diganggu dengan tekanan daripada pihak luar. Kami sudah melepasi satu halangan besar dan sekarang masa untuk melangkah lebih jauh,” kata Deschamps.

Perancis mara ke separuh akhir dengan reputasi sebagai pasukan yang memiliki jentera serangan paling ampuh apabila Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele sudah meledak 13 gol secara keseluruhan sepanjang kejohanan.

Mbappe yang kini mendahului carta penjaring terbanyak bersama Lionel Messi dengan lapan gol menegaskan Les Bleus masih belum berpuas hati biarpun sudah berada dalam kelompok empat terbaik.

“Satu-satunya cara untuk kami berehat adalah dengan menang. Selagi belum mencapainya, kami tidak akan mengendurkan usaha.

“Sudah tentu kami gembira berada di separuh akhir, tetapi perjalanan masih jauh. Kami sedar cabaran selepas ini lebih sukar dan kami bersedia menghadapi apa sahaja halangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Deschamps dijangka menerima suntikan besar apabila pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni sudah pulih daripada kecederaan pangkal paha dan berkemungkinan kembali mengisi kesebelasan utama.

Kehadiran Tchouameni bakal mensisihkan pemain tengah, Manu Kone kembali memanaskan bangku simpanan walaupun beraksi cemerlang pada dua perlawanan kalah mati yang lepas.

Deschamps terpaksa membariskan kesebelasan terbaik kerana ‘badi’ Perancis dengan Sepanyol yang telah menewaskan anak-anak buahnya pada separuh akhir Euro 2024 serta dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN