fbpx
Ahmad Zahid menyempurnakan Sesi Luncheon Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Bukan lagi cuba nasib, kontinjen TVET perlu cipta sejarah di WorldSkills Shanghai 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia ke pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 diingatkan supaya tidak lagi berangkat dengan mentaliti mencuba nasib, sebaliknya membawa tekad untuk mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas pertama negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua peserta perlu membuktikan bahawa TVET Malaysia mempunyai standard, keberanian dan keupayaan untuk berdiri sebaris dengan negara terbaik dunia.

“Ingat, keberadaan anda di Shanghai nanti bukan lagi untuk mencuba nasib, sebaliknya anda berada di sana dengan tekad untuk mencipta kejayaan.

“Anda mesti membuktikan bahawa TVET Malaysia, khususnya TVET@KKDW, mempunyai standard, keberanian dan keupayaan untuk berdiri di barisan hadapan dunia,” katanya semasa berucap pada Sesi Luncheon Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kontinjen Malaysia kali ini dianggotai 22 peserta yang akan bertanding dalam 21 bidang kemahiran dengan sembilan daripadanya mewakili institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, iaitu TVETMara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GiatMara.

Katanya, penyertaan mereka membuktikan anak muda Malaysia, termasuk dari luar bandar, mempunyai bakat untuk bersaing di pentas antarabangsa sekiranya diberikan peluang, latihan dan bimbingan yang secukupnya.

Beliau berkata, kejayaan di WorldSkills bukan hanya bergantung kepada bakat, sebaliknya memerlukan disiplin tinggi, kekuatan mental, persediaan rapi serta keupayaan menghasilkan kerja yang kreatif dan inovatif.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua peserta menggunakan baki masa sebelum pertandingan untuk memperkemaskan setiap aspek kemahiran agar mampu memberikan saingan terbaik di Shanghai.

Untuk rekod, Malaysia menyertai pertandingan WorldSkills sejak 1993 dengan pencapaian terbaik setakat ini ialah pingat gangsa, sekali gus menyaksikan kontinjen negara memburu pingat emas pertama dalam edisi Shanghai 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN