GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Bangladesh menangis bagi meraih simpati anggota penguat kuasa selepas ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang di Jalan Datuk Keramat di sini, hari ini.
Lelaki asing itu mendakwa dia bekerja di sebuah hotel dan hanya datang ke premis berkenaan untuk membeli barang.
Dia merupakan antara 21 warga asing yang ditahan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan di empat buah premis perniagaan di lokasi tersebut.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad berkata, operasi bermula pada pukul 9 pagi itu dilakukan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri berdasarkan aduan awam dan risikan.
“Seramai 35 individu diperiksa sebelum 21 warga asing berusia 18 hingga 51 tahun ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki warga India, tiga lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf,” katanya kepada pemberita. – KOSMO! ONLINE
















