SAUDARA PENGARANG,
Sememangnya kita tahu bola sepak merupakan sukan yang paling popular di dunia. Oleh kerana itu, ia mempunyai peminat di serata ceruk.
Namun, sokongan fanatik kepada sesebuah pasukan ada kalanya dibawa bersama emosi yang melampau.
Apa yang berlaku di beberapa buah restoran di Lembah Klang dan Johor Bahru ketika perlawanan antara Argentina dan Mesir baru-baru ini amat memalukan.
Bukan sahaja harta benda pemilik restoran rugi, malah kejadian itu turut mendatangkan cedera kepada sekumpulan individu.
Bergaduh angkara bola sepak memang tidak berbaloi langsung. Penyokong tidak perlu membawa budaya samseng untuk bergaduh sesama sendiri seperti yang berlaku di luar negara.
Kita punyalah gila memberi sokongan hingga sanggup membeli jersi tulen dan memuja sebahagian pemain sedangkan mereka langsung tidak mengenali kita.
Apalah gunanya ‘cinta’ sebelah pihak sehingga kita sanggup bergaduh hingga mendatangkan kecederaan sedangkan orang yang kita gaduhkan semakin kaya dan popular.
Hentikanlah budaya samseng dan jadilah penyokong yang bijak.
Samseng pencen
Jambu Bongkok















