MELAKA – Kerajaan negeri akan mengkaji penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir yang membelenggu beberapa kawasan di negeri ini sejak lebih 30 tahun lalu, susulan kejadian hujan luar biasa yang mengakibatkan banjir di tiga daerah semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, meskipun pelbagai langkah mitigasi telah dilaksanakan sebelum ini, jumlah taburan hujan yang terlalu tinggi menyebabkan sistem saliran dan kawasan takungan air tidak lagi mampu menampung aliran air.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan, termasuk di Tanjung Minyak Utama yang dikenal pasti antara lokasi kerap dilanda banjir.
“Kita turut merasai simpati terhadap mangsa yang terkesan akibat curahan hujan luar biasa, melepasi paras kebiasaan yang pernah direkodkan sejak 20 tahun lalu.
“Walaupun pelbagai solusi telah disediakan bagi mengurangkan kesan kenaikan air di seluruh negeri, hujan yang terlalu lebat menyebabkan takungan air tidak mampu menampung kapasiti sehingga air melimpah ke kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri kini akan meneliti cadangan daripada agensi berkaitan bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan lebih tiga dekad, khususnya di kawasan Tanjung Minyak Utama.-KOSMO! ONLINE.















