JELEBU – Pakatan Harapan (PH) mengakui kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berpunca daripada kejayaan gabungan itu menarik semula sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pola pengundian pada PRN kali ini jelas menunjukkan berlaku peralihan undi penyokong PN kepada calon-calon BN, sekali gus memberi kelebihan besar kepada gabungan tersebut.
Menurut beliau, situasi itu menyebabkan beberapa kerusi yang dimenangi DAP pada pilihan raya lalu menerusi pertandingan tiga penjuru gagal dipertahankan apabila kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH dan BN.
“Pada pilihan raya lalu di Johor, kita menang kerana ada pertembungan tiga penjuru yang mana kita menang dalam lingkungan 40 peratus pengundi. Tapi oleh kerana dinamika pilihan raya kali ini berlainan iaitu satu lawan satu, maka ‘vote transfer’ itu tidak berlaku kepada kita, tapi berlaku kepada calon BN.
“Calon BN mendapat kelebihan undi daripada penyokong PN. Penyokong PN memberikan sokongan kepada calon BN dan itulah yang menyebabkan beberapa kerusi yang kita menang sebelum ini tidak dapat dipertahankan.
“Ini memang satu pola yang jelas dan kita mengakui ia adalah kejayaan BN. Jadi kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana berjaya mendapat semula sokongan daripada penyokong atau pengundi yang mengundi PN pada pilihan raya lalu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.















