MACHANG – Seorang buruh didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas seorang anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata ‘menate mu beruk’ dan ‘menate polis babi’ sebelum menendang anggota tersebut ketika serbuan di depan sebuah rumah dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Ariff Hakimi Che Ghani, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam iaitu anggota polis, Sub Inspektor Mohmad Zulkifli Mat dalam menjalankan fungsi awamnya di depan sebuah rumah di Kampung Laklok di sini kira-kira pukul 8.15 malam pada 27 Jun 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala Mohamad Ariff diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Husniza Akmal Husain.
Terdahulu, Siti Asma’a memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Nor Husniza dalam rayuannya memohon denda minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.
“Tertuduh yang masih bujang berkerja sebagai buruh dengan pendapatan sebanyak RM50 sehari dan perlu menanggung kedua ibu bapanya,” katanya.
Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman menegur perbuatan tertuduh yang tidak sepatutnya mengherdik anggota polis ketika menjalankan tugas.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Mengikut fakta kes, Mohamad Ariff bertindak agresif dengan menendang anggota polis sebelum berlaku pergelutan semasa proses tangkapan dijalankan dalam serbuan di depan sebuah rumah di Kampung Laklok di sini pada 27 Jun lalu.
Ketika pemeriksaan tubuh badan dijalankan, lelaki itu tidak memberi kerjasama sebelum menjerit dengan mengatakan ‘menate mu beruk’ dan ‘menate polis babi’ sebelum mengulangi ayat ayat sama beberapa kali kepada anggota polis.
Mohamad Ariff juga menendang anggota polis yang menangkapnya semasa mengeluarkan kata-kata kesat itu. – KOSMO! ONLINE















