BESUT -Jenazah seorang lagi penunggang motosikal Yamaha RXZ yang maut nahas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Jabor, Kuantan, Pahang awal pagi ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payong di sini sebentar tadi.
Jenazah Mohd. Aizat Husni, 33, selamat dikebumikan pada pukul 10.15 malam.
Seramai kira-kira 200 orang ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk menghadiri upacara pengebumian tersebut.
Terdahulu jenazah Mohd. Aizat dibawa ke Masjid Kampung Bukit Payong, Hulu Besut di sini untuk disembahyangkan.
Allahyarham Mohd. Aizat merupakan antara empat penunggang motosikal Yahama RXZ yang maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 246.4 LPT awal pagi tadi.
Terdahulu mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menyertai aktiviti konvoi motosikal Yamaha RXZ ke sebuah restoran masakan kampung popular di Kuantan. – KOSMO! ONLINE















