fbpx
JENAZAH Mohd Hafiz dibawa keluar daripada unit forensik HTAA Kuantan selepas proses bedah siasat.

Muhammad Hafiz kongsi gambar juadah terakhir kepada isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Nasi goreng menjadi juadah terakhir seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ yang maut dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 246.4 Lebuh Raya Pantai Timur di sini awal pagi ini.

Malah gambar juadah nasi goreng berkenaan menjadi kenangan terakhir yang dikongsi mangsa Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, kepada isterinya, Farah Aqilah Mohamad Nazri, 30, sebelum mangsa maut.

Muhammad Hafiz merupakan antara empat penunggang motosikal yang terkorban dalam nahas berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas menyertai konvoi ke sebuah restoran di Kuantan.

Farah Aqilah berkata, sebelum keluar rumah, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya memaklumkan mahu keluar seperti kebiasaan bersama rakan-rakan.

“Tak ada apa-apa pun yang pelik. Dia keluar macam biasa. Selalunya kalau keluar menunggang motosikal, malam juga dia balik.

“Semalam dia cuma hantar gambar nasi goreng. Dia tak cakap apa-apa selain beritahu dia sedang makan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.

Menurutnya dia dan arwah suaminya dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Hud Qays yang baru berusia setahun tiga bulan dan sangat rapat dengan arwah bapanya.

“Anak memang rapat sangat dengan ayah dia. Sekarang anak bersama kakak saya kerana belum tahu apa yang berlaku,” katanya dalam nada sebak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, empat penunggang motosikal maut, manakala 20 lagi cedera selepas kemalangan membabitkan lebih 30 motosikal di Kilometer 246.4, LPT arah Kemaman.

Keempat-empat mangsa ialah Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Paka, Terengganu; Mohd. Aizat Husni, 33, dari Jerteh, Terengganu dan Muhammad Safawi Md. Noh, 24, dari Felda Neram, Terengganu.

Dalam pada itu berdasarkan tinjauan di HTAA mendapati, suasana pilu menyelubungi unit forensik apabila ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa berkumpul sejak awal pagi bagi menunggu proses bedah siasat.

Jenazah Muhammad Hafiz pertama dibawa keluar iaitu kira-kira pukul 12.25 tengah hari sebelum disusuli Che Mohd. Sufian kira-kira 10 minit kemudian.

Kesemua jenazah dibawa ke Masjid Saidina Umar Al-Khattab Cenderawasih di sini untuk dimandikan dan solat jenazah.

Difahamkan, jenazah Che Mohd Sufian dan Muhammad Hafiz Al Hakim akan dikebumikan di Tanah perkaburan Kampung Limbung, Paka, Dungun, manakala jenazah Mohd Aizat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Payung, Besut dan jenazah Muhammad Safawi pula akan dikebumikan di Tanah perkuburan Bandar Ceneh Baru, Kemaman Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN