KUALA LUMPUR – Sembilan lelaki warga China ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pelaburan saham dalam talian yang menyasarkan mangsa dari negara itu dalam serbuan di sebuah kondominium di Mont Kiara di sini hari ini.
Serbuan bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang tadi dijalankan sepasukan Kuala Lumpur Police Strike Force di sebuah unit kondominium di Changkat Duta Kiara antara
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 41 tahun dipercayai berperanan mengendalikan operasi penipuan pelaburan saham secara dalam talian yang menyasarkan warga China.
Beliau berkata, polis turut merampas 23 telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan komputer riba, sebuah modem internet Huawei OptiXstar, sebuah router Starlink serta wang tunai RM2,500.
“Hasil siasatan awal mendapati premis itu telah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan seorang penyelia dan lapan pekerja. Mereka bekerja dari pukul 8 pagi hingga 10 malam mengikut waktu Malaysia dan ditawarkan gaji RM3,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, analisis awal turut mendapati sindiket berkenaan menjalankan penipuan tawaran pelaburan saham yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa warga China.
Katanya, suspek dipercayai bertindak sebagai pasukan sokongan yang memberi khidmat nasihat kepada pelanggan untuk mendaftar akaun menerusi satu laman sesawang yang kononnya merupakan platform rasmi syarikat pelaburan antarabangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE















