KUALA NERUS – Bot yang karam dalam tragedi mencandat sotong di perairan Kuala Nerus pada minggu lalu berjaya dinaikkan semalam selepas dua hari operasi dijalankan.
Pemilik bot, Mohd. Awais Sa’ari, 40, berkata, bot tersebut berjaya diapungkan dengan menggunakan 21 tong berisi air.
“Tong itu diikat pada badan bot sebelum dipam dengan angin bagi menghasilkan daya apungan bermula pada pukul 9 pagi semalam.
“Selepas bot timbul sebahagian, kami mula menundanya hingga ke muka kuala Sungai Terengganu berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 6.30 petang,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Awais berkata, mereka menghadapi cabaran apabila bot miliknya tiba-tiba hanyut semula akibat sauh tercabut ekoran arus kuat sebelum menundanya dan mengikatnya pada pokok berhampiran Jeti Nelayan Kampung Batin, di sini.
Kosmo! Ahad 5 Julai lalu melaporkan bot milik Mohd. Awais karam sewaktu membawa 10 pemancing untuk mencandat sotong di perairan Kuala Nerus dekat sini. Insiden itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin Mohamad Jalil, 37, yang bertugas sebagai kru bot. – KOSMO! ONLINE















