ROMPIN – Hampir 30 pekerja pembersihan dan penyelenggaraan Hospital Rompin mengadakan mogok dan demonstrasi semalam selepas mendakwa bayaran gaji serta kerja lebih masa mereka tertunggak dan tidak dibayar.
Mereka juga mendakwa kontraktor terbabit juga tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meskipun potongan gaji mereka dilakukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd Fadzly Ramly berkata, tindakan pekerja berkenaan menyebabkan kerja-kerja pembersihan di hospital berkenaan terhenti sehingga tengah hari semalam sekali gus menyebabkan penyelenggaraan hospital terganggu.
“Saya telah menghubungi Pengarah Kesihatan negeri dan pihak syarikat terbabit, alhamdulillah gaji mereka telah dimasukkan dan saya minta mereka masuk semula kerja pada pukul 2 petang.
“Namun sehingga petang semalam mereka mendakwa bayaran kerja lebih masa dan caruman KWSP serta Perkeso mereka belum masuk lagi dan saya akan minta penjelasan pihak terbabit nanti,”katanya yang turut hadir pada demonstrasi yang diadakan semalam.
Katanya, petugas kebersihan di hospital berkenaan amat penting dalam memastikan perjalanan hospital dan rawatan kepada pesakit dapat dilakukan dengan baik dan lancar.
Beliau memberitahu, meskipun baru beberapa jam pekerja berkenaan mengadakan mogok menyaksikan keadaan penyelenggaraan khususnya kebersihan di hospital berkenaan telah terjejas.
Dalam pada itu katanya, dalam memastikan perkara ini tidak berulang beliau telah menghubungi Setiausaha Sulit Menteri Kesihatan bagi memaklumkan perkara ini kepada pihak menteri dan kementerian.
Katanya, isu itu harus diselesaikan dengan apa cara sekali pun termasuk jika perlu menggantikan kontraktor yang lebih berkemampuan dalam memastikan aspek kesihatan masyarakat tidak terjejas.
“Sampai bila Hospital Rompin dibelenggu dengan masalah seperti ini, nilai kontrak bukan sedikit yang terpaksa ditanggung menggunakan duit rakyat dan rakyat perlu mendapat perkhidmatan yang baik.
“Kita juga kasihan kepada pekerja terbabit, mereka sudah nekad kerana ini melibatkan periuk nasi mereka dan keringat mereka serta simpanan hari tua mereka,”katanya yang turut menggesa pihak Perkeso dan KWSP turut mengambil tindakan segera.
Dalam pada itu seorang pekerja terlibat berkata, selain bayaran gaji yang tertunggak wang caruman yang dipotong daripada gajinya hampir setahun tidak dimasukkan ke akaun Perkeso dan KWSP.
Katanya, pembayaran gaji dan kerja lebih masa yang tertunggak juga menyebabkan dia yang menanggung keluarga terbeban untuk perbelanjaan harian termasuk untuk anak-anak yang masih bersekolah.
Ujarnya, bagi membayar pinjaman rumah dan kenderaan dia terpaksa meminjam duit daripada rakan-rakan dan ahli keluarga serti berjimat dalam berbelanja keperluan harian.
Sementara itu menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) operasi Hospital Rompin dan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit berjalan seperti biasa.
Ujarnya pihak JKNP mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE














