ALOR GAJAH – Tiga pelajar didakwa berdepan detik cemas apabila dikejar seorang rakan bersenjatakan pisau pemotong daging di sebuah sekolah menengah di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu bagaimanapun berjaya dikawal dengan tindakan pantas guru yang merampas senjata dipegang pelajar terbabit.
Menurut sumber, kejadian melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.
“Guru terbabit yang dibantu beberapa guru lain berjaya menyelamatkan keadaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar mahupun guru.
“Pelajar yang memegang senjata itu juga dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan pengambilan ubat secara berkala,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi pemberita memaklumkan pihaknya sedang menyemak laporan berhubung kejadian tersebut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin ketika waktu rehat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital, manakala suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














