MELAKA – Seorang pelajar lelaki tingkatan enam meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri orientasi kokurikulum di sebuah sekolah di Jalan Chan Koon Cheng, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang merupakan pelajar aliran sastera, dilaporkan rebah ketika sedang berbaris bersama rakan di koridor kelas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Melaka menggunakan ambulans sebaik sahaja kejadian disedari guru.
“Bantuan pernafasan dilakukan selama kira-kira 68 minit di Bahagian Kecemasan Hospital Melaka, namun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.11 malam.
“Susulan itu, pegawai perubatan hospital telah membuat laporan polis kerana tidak tahu punca kematian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat ibu mangsa memaklumkan anaknya tidak pernah menjalani rawatan bagi sebarang penyakit atau mengadu tidak sihat sebelum kejadian.
“Mangsa baru bersekolah di tempat kejadian kira-kira tiga minggu dan merupakan anak sulung daripada dua beradik. Dia disifatkan sebagai seorang yang pendiam serta aktif bersukan.
“Bedah siasat dijalankan mendapati saluran jantung mangsa bersaiz kecil dan abnormal, selain terdapat ketidaknormalan dari segi saiz serta pertumbuhan jantung. Punca kematian diklasifikasikan sebagai anomali arteri koronari,” katanya. – KOSMO! ONLINE














