LOS ANGELES – Dua misi utama menjadi matlamat Belgium pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang bekas juara 2010, Sepanyol di Stadium Los Angeles, awal pagi esok.
Selain harapan untuk mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir edisi 2018, Belgium kini memiliki sebab kukuh untuk tampil lebih baik pada perhitungan dengan La Roja kali ini.
Walaupun tidak lagi digelar generasi emas, skuad The Red Devils mahu menjadi pasukan pertama yang merobek gawang Sepanyol yang sebelum ini kebal dalam enam aksi terdahulu.
“Semua orang dalam pasukan kami sedar, tidak ada perkara yang mustahil. Saya fikir kami memiliki skuad yang agak kuat yang sepatutnya perlu diambil berat oleh Sepanyol.
“Dalam Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala Dunia sentiasa ada kejutan dan kami mahu menjadi pasukan yang berjaya melakukannya. Kami ada keyakinan dan jika mampu menyingkirkan juara Eropah pastinya menjadi kejutan terbesar,” kata penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Kebangkitan ketika meraih kejayaan tewaskan Senegal di pusingan 32 sebelum ini sudah membuktikan kematangan Belgium sebelum cemerlang membenam tuan rumah, Amerika Syarikat di pusingan 16.
Courtois yang dilabel sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia mengakui kejayaan Sepanyol ke atas Portugal sebelum ini sudah beri gambaran jelas kepada Belgium tentang kekuatan sebenar La Roja.
Dalam masa sama, Courtois juga menjelaskan pengalamannya beraksi dengan kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan Real Madrid beri manfaat buatnya dan sedia berkongsi pandangan tentang kekuatan sebenar La Roja.
“Saya tinggal di Sepanyol selama 11 tahun dan ia satu jangka masa panjang. Sepanyol adalah rumah kedua saya, mungkin saya akan kekal tinggal di sana selepas karier saya berakhir.
“Saya juga ada dua anak yang secara semulajadinya (memiliki identiti) lebih kepada Sepanyol berbanding Belgium. Namun pada akhirnya, aksi ini nanti akan lebih berkisar kepada Belgium.
“Sepanyol adalah pasukan pilihan di mana mereka menguasai permainan dan terus memberi tekanan setiap kali hilang bola. Jadi, itu juga akan menjadi ‘kunci’ kepada kami iaitu cuba memanfaatkan ruang yang mereka tinggalkan ketika menyerang,” katanya. – AGENSI














