SHAH ALAM – Polis mengakui masih terdapat kelompongan dari segi penguatkuasaan terhadap pembelian senjata tajam secara dalam talian oleh golongan bawah umur, sekali gus membuka ruang kepada remaja mendapatkan barangan tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, walaupun beberapa platform e-dagang telah mengetatkan syarat pembelian senjata tajam dan kerajaan sedang memperkenalkan akta berkaitan akses media sosial bagi golongan bawah umur, pelaksanaan penguatkuasaan secara menyeluruh masih memerlukan masa.
“Kita masih dalam tindakan memastikan mereka yang dibawah umur tidak mempunyai akses di media sosial seperti kerajaan nyatakan dibawah pengubalan akta baharu.
“Justeru, mungkin dari segi penguatkuasaan itu memerlukan sedikit masa dan tempoh inilah yang membolehkan suspek memperoleh secara dalam talian.
“Ini kerana akta diluluskan telah berkuat kuasa cuma dari segi penguatkuasaan itu mungkin ada kelompongan dalam tindakan penguatkuasaan menyeluruh.
“Saya percaya apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, golongan bawah umur akan dapat dihalang daripada mengakses media sosial atau memperoleh barangan terlarang menerusi platform tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suspek berusia 15 tahun yang menikam rakan sekolahnya di Banting, Kuala Langat memperoleh senjata itu menerusi pembelian dalam talian.
Dalam pada itu, beliau menafikan kunjungan dan rondaan di sekolah-sekolah di Selangor adalah berkurangan yang berkemungkinan berlakunya kejadian tikaman dalam sekolah.
Katanya, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan pasukan rondaan terus menjalankan pemantauan sejak arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara tahun lalu tanpa sebarang pengurangan.
“Malah di Selangor, kunjungan dan rondaan polis ke sekolah adalah sangat baik serta semakin meningkat. Tiada istilah rondaan dikurangkan atau menjadi rutin semata-mata.
“Dalam kes ini, kemungkinan suspek mengambil kesempatan apabila wujud peluang. Tetapi untuk mengatakan polis mengurangkan rondaan, saya nafikan. Perkara ini juga diperakui pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” katanya.
Menurut beliau, polis turut menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di peringkat kontinjen dan daerah bagi berkongsi maklumat berkaitan aspek keselamatan sekolah.
“Cuma mungkin terdapat sedikit kelewatan dari segi penyampaian maklumat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














