PETALING JAYA – Sebuah kilang memproses sabun pencuci di sekitar Seri Kembangan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi bersepadu itu bermula pukul 11.25 pagi semalam dijalankan dengan kerjasama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kilang berkenaan memasarkan produk sabun pencuci secara dalam talian dan dipercayai menggunakan logo halal yang tidak diperakui pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan, KPDN Selangor menyita sebanyak 31,140 unit sabun pencuci, 40,000 unit plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM215,700,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai lima pekerja warga asing dan seorang pengarah syarikat warga tempatan turut diperiksa bagi membantu siasatan.
“Kelima-lima pekerja warga asing itu telah diserahkan kepada pihak JIM untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hanif berkata, operasi bersepadu itu dijalankan susulan maklumat awam berhubung penyalahgunaan logo halal pada produk yang dibungkus syarikat terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah subperenggan 8(b), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011. – KOSMO! ONLINE














