PETALING JAYA – Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengambil maklum cadangan mewujudkan surau atau musolla jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, Sultan Pahang bertitah bahawa MUIP merupakan pihak berkuasa yang mewakili baginda sebagai penguasa berkaitan masjid atau surau dan musolla yang terletak di bawah senarai negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, baginda turut memperkenankan penegasan Jabatan Mufti Negeri Pahang bahawa syarat sah solat Jumaat mengikut Mazhab Syafi’i merangkumi enam perkara utama.
“Ia merangkumi enam perkara utama iaitu didirikan solat Jumaat dalam waktu zohor secara berjemaah sekurang-kurangnya 40 jemaah iaitu lelaki mukallaf dan bertaraf mastautin, didahului dua khutbah, dan didirikan di satu tempat atau bangunan yang dikhususkan.
“Tidak boleh ada pertembungan solat jumaat di kawasan berhampiran, kecuali jika ada kesukaran yang pasti dan akan diputuskan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang serta disembahkan untuk perkenan Sultan Pahang.
“Baginda juga mengambil maklum bahawa susun atur masjid di Negeri Pahang telah mengambil kira kewujudan masjid dalam pusat kemasyarakatan dan masjid atau Surau Kebenaran Jumaat (SKJ) tersebut lebih sesuai diimarahkan.
“Antaranya ialah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Bandar Kuantan, Masjid Tepian Putra di kawasan Malay Town dan Kuantan City Mall, Masjid Bandaraya yang akan dibuka serta Masjid Al-Shafie di Kota SAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.














