Selepas lebih enam bulan tidak turun ke laut Melaka, perasaan rindu di dalam diri sentiasa membuak-buak. Akhirnya, ia diredakan apabila Mian menjemput saya mengikut tripnya bersama Tekong Ustaz Nizam Ismail.
Sibuk dengan kerja, saya pula tersilap info tentang keadaan arus, sangkanya hari trip jatuh pada arus pasang besar iaitu hari ke-15 dalam kalendar Hijrah.
Rupa-rupanya, ada tiga hari lagi barulah sampai ke tarikh tersebut, jadi arus tidaklah terlalu deras dan masih lagi boleh menggunakan set pancing sederhana ringan dengan jig bersaiz kecil.
Saya pula membawa peralatan memancing sedikit berat, set PE2-4 dengan jig banyak yang bersaiz antara 150 hingga 250g dan batu ladung saiz 10 ke atas.
Apa boleh buat, saya pun sudah sampai ke jeti, nanti di laut pandai-pandailah ubah ikut kesesuaian. Ada rezeki, adalah nanti, tidak perlu risau, janji gian hendak memancing tertunai.
Bermula sesi trip
Kami bertolak keluar ke laut pagi-pagi lagi dan keadaan arus ketika itu masih surut. Cuaca juga cerah dengan kelihatan awan tebal meredupkan keadaan.
Tidak sampai satu jam kami sudah pun sampai ke lokasi pertama.
Dalam keadaan arus yang masih perlahan dan hembusan angin lembut menyapa muka, tekong menyarankan untuk menurunkan jig berat antara 60 hingga 80 gram (g) sahaja.
Kedalaman dasar di situ lebih kurang antara 60-80 kaki.
Beberapa kawah berlubang dilewati, namun tiada yang menyambar jig dihulurkan.
Menurut tekong, faktor ikan sunyi bukan kerana arus, tetapi lebih kepada keadaan air yang sedikit keruh pada hari tersebut.
Lantas, kami berubah tempat ke kawasan dasar yang lebih dalam, di sini jig berat antara 80 sehingga 100g pula diturunkan. Separuh daripada kami mula bertukar kepada umpan sotong kurita kerana hendak lebih bersantai memancing tanpa perlu mengunjun jig berat.
Saya masih setia dengan jig kerana mengharapkan ada ikan jenahak yang menjadi target utama trip akan sudi.
Rakan-rakan menggunakan umpan sudah mula menaikkan ikan jenahak saiz remaja, manakala kami yang menggunakan jig hanya dapat kerapu saiz cilik.
Umpan sotong kurita
Mengikut tekong, sejak kebelakangan ini, dia menggunakan umpan sotong kurita kerana sebelum itu ikan jenahak di perairan Melaka terkenal dengan sifat memilih.
Dalam kebanyakan masa, ia hanya mahukan umpan sotong cumit yang ditangguk di tempat sama pancingan dilakukan dan semestinya pada waktu malam.
Sememangnya melecehkan, tetapi ia amat mujarab sehinggakan sepotong umpan tersebut boleh menghasilkan tangkapan ikan jenahak yang baik dari segi saiz.
Masalahnya, sotong cumit sukar dicari dan bilangannya bukan selalunya banyak.

Jadi, apabila ikan jenahak di sana boleh diumpan dengan sotong kurita, ia membuatkan sesi pancingan dasar menjadi lebih mudah, malah dapat dilakukan di siang hari.
Setelah beberapa lubang dicuba dan asyik umpan sotong kurita disambar jenahak, maka kami beramai-ramai bertukar kepada umpan yang sama.
Cara persembahannya juga mudah, perambut fluorocarbon berkekuatan 60lb dibuat satu cabang perambut anak sepanjang sekaki dan diikat satu mata kail saiz 3/0. Saya lebih gemar menggunakan mata kail Daiichi DX SOI saiz 20.
Jarak antara pangkal perambut anak ke batu ladung juga panjang sekaki sahaja, batu ladung pula saiz antara 8 hingga 10 mengikut kekuatan arus ketika itu.
Perambut dibuat pendek kerana kami berhanyut bot sambil memancing dasar melalui lubang-lubang berkawah yang dipenuhi struktur berbatu karang.
Terlalu panjang perambut, sensitiviti terhadap getuan halus ikan sukar dirasai dan apabila terasa, biasanya jadi terlambat kerana ikan sudah menyelinap ke dalam struktur batu karang hingga menyebabkan ia sangkut.
Umpan sotong kurita dipotong dua memanjang dan dicangkuk dua hingga tiga kali di mata kail supaya ia tidak mudah tercabut.
Umpan ini juga tidak perlu dibawa banyak, selain harganya yang mahal, ia juga dapat bertahan lama di mata kail, walaupun dikekah ikan banyak kali kerana ia liat.
Kebiasaannya, antara empat hingga enam ekor ikan jenahak dapat dinaikkan dengan umpan sama.
Sekarang umpan ini dianggap universal di perairan Melaka kerana selain ikan jenahak, ia juga dapat menggoda ikan-ikan lain seperti senangin, kurau, gerut-gerut, talang, gerepoh dan kerapu.
Air pasang
Rata-rata ikan jenahak yang kami dapat ketika air surut bersaiz kecil. Tekong mengatakan mungkin ada harapan ikan-ikan bersaiz kasar akan berganti ketika air pasang nanti.
Benar seperti yang didakwanya, apabila air bertolak pasang pada petang itu, ikan jenahak yang bersaiz kecil pada awal trip bertukar kepada saiz lebih kasar.
Selain itu, kami menurunkan jig dan memainkannya secara unjunan perlahan (slow jig). Dengan slow jig, kami mendapat ikan gerepoh (GT) dan beberapa ekor kerapu saiz kasar.
Walaupun keadaan air tidak cantik untuk aktiviti jigging, namun ia masih dapat digantikan dengan sesi pancing dasar.
Pada saya, perairan Melaka sentiasa tidak mengecewakan, walau dalam apa keadaan sekali pun. Lokasi ini sepatutnya dikunjungi oleh rakan-rakan sepancingan yang lain.














