fbpx

Hari PRS tingkatkan kesedaran masyarakat tentang pelan persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Private Pension Administrator (PPA) bakal menganjurkan program sulungnya, Hari PRS (Private Retirement Scheme) pada hujung minggu selama dua hari bermula 11 Julai ini bertempat di pusat beli-belah MyTown di Kuala Lumpur.

Ini adalah inisiatif buat kali pertama PPA untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang  perancangan persaraan, literasi kewangan dan kesejahteraan kewangan jangka panjang.

Bertemakan Retire Happy When Ready, Jom PRS! ini terbuka kepada semua dan mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti yang menggabungkan pembelajaran, penemuan dan pengalaman interaktif berkaitan perancangan
persaraan.

“Lebih daripada sekadar sebuah pameran, Hari PRS menandakan permulaan kepada satu usaha berskala nasional untuk memupuk budaya persediaan persaraan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen PPA dalam menjadikan perancangan persaraan lebih mudah diakses, lebih dekat dengan masyarakat dan lebih relevan kepada setiap lapisan rakyat yang terdiri daripada golongan muda yang baru memulakan kerjaya, keluarga yang sedang merancang kewangan, hinggalah mereka yang sedang menghampiri usia persaraan.

“Pelancaran Hari PRS hadir pada ketika kesedaran terhadap kepentingan perancangan persaraan semakin meningkat.

“Sehingga 31 Disember 2025, PRS telah merekodkan 671,736 ahli dengan jumlah aset di bawah pengurusan sebanyak RM8.8 bilion, manakala jumlah caruman yang diterima sepanjang tahun 2025 mencecah kira-kira RM1 bilion.

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap PRS sebagai pelengkap kepada simpanan persaraan sedia ada, di samping menekankan kepentingan untuk lebih ramai rakyat  memulakan perancangan persaraan lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Meskipun, kesedaran semakin meningkat, masih ramai rakyat  yang menangguhkan perancangan persaraan akibat komitmen kewangan semasa atau tanggapan bahawa persaraan masih berada jauh di hadapan.

Ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup serta jangka
hayat yang semakin panjang, keperluan untuk membina simpanan persaraan yang mampan kini menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Sepanjang program selama dua hari ini, tujuh Penyedia PRS dan satu Pengedar PRS akan berhimpun di bawah satu bumbung untuk memberi peluang kepada orang ramai membandingkan pelbagai pilihan persaraan, mendapatkan khidmat nasihat yang diperibadikan serta memahami dengan lebih mendalam bagaimana PRS dapat membantu mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang acara, antaranya adalah membuka akaun PRS di lokasi acara, mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan persaraan dan kewangan.

Turut diadakan pemeriksaan kesihatan percuma, bengkel literasi kewangan dan sesi perkongsian bersama pakar, aktiviti pentas interaktif serta persembahan hiburan selain cabutan bertuah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN