JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di pusat mengundi Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Kampung Pengkalan Rinting di sini, berakhir dengan lancar apabila pusat mengundi ditutup tepat pukul 5 petang hari ini.
Terdahulu, anggota terakhir tiba untuk mengundi pada pukul 4.50 petang sebelum proses pengundian ditamatkan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sejurus pusat mengundi ditutup, petugas SPR dilihat membawa keluar dua beg berisi peti undi untuk dihantar ke lokasi penyimpanan yang telah ditetapkan di bawah kawalan ketat pihak berkuasa.
Seramai 741 anggota polis berdaftar sebagai pengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing di pusat mengundi itu dengan dua saluran mengundi disediakan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.- KOSMO! ONLINE














