KINSHASA – Lebih 500 orang meninggal dunia akibat wabak Ebola yang melanda Republik Demokratik Congo(DRC), demikian menurut angka Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) semalam.
Angka baru dikemas kini oleh WHO menunjukkan terdapat 1,561 kes Ebola disahkan di DRC sejak wabak demam berdarah itu diisytiharkan pertengahan Mei lalu termasuk 506 kematian disahkan.
Dua lagi pesakit turut meninggal dunia di negara jiran, Uganda, di mana situasinya lebih stabil. Uganda menyaksikan 16 pesakit pulih daripada 20 jumlah kes disahkan.
Angka WHO yang diperoleh daripada pihak berkuasa kesihatan DRC itu menunjukkan wabak di sana mempunyai kadar kematian sebanyak 32 peratus.
Seramai 254 pesakit pulih, manakala 354 kes disyaki Ebola sedang disiasat.
Wabak Ebola di DRC merebak di empat wilayah tetapi tertumpu di wilayah Ituri, timur laut negara itu.
Wabak semasa berpunca daripada varian Ebola Bundibugyo yang jarang berlaku, yang mana tiada vaksin atau rawatan khusus untuknya.
Bagaimanapun, percubaan dua rawatan berpotensi untuk Bundibugyo bermula di DRC pada Khamis lalu. – AFP














