BANGKOK – 55 wilayah Thailand diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan Ribut Tropika Maysak yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh bermula kelmarin hingga hari ini, lapor akhbar Bangkok Post.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana, Teerapat Kachamat berkata, ribut tropika itu dijangka tidak membadai Thailand tetapi tempiasnya meningkatkan intensiti hujan apabila bergabung dengan luruan monsun di utara dan timur laut negara itu.
Hujan lebat diramalkan di 17 wilayah di bahagian utara, 15 wilayah di timur laut, 15 wilayah di tengah dan lapan wilayah lain di Selatan Thai.
Keadaan itu dijangka meningkatkan risiko berlaku banjir kilat, air deras di hutan, tanah runtuh serta banjir di kawasan rendah.
“Pihak berkuasa sedang memantau kawasan-kawasan yang dijangka menerima lebih 90 milimeter hujan dalam tempoh hanya 24 jam,” kata Kachamat.
Angin kencang dan ombak besar juga diramal di luar pesisir Ranong, Phangnga, Phuket dan Krabi, manakala ombak di Laut Andaman dijangka mencapai ketinggian 2 hingga 3 meter atau lebih tinggi semasa ribut petir.
Pihak berkuasa diminta untuk memantau keadaan cuaca, taburan hujan dan paras air di samping mengerahkan pasukan kecemasan, mempercepatkan saliran di kawasan terdedah banjir serta menyediakan tempat perlindungan sementara jika pemindahan penduduk berlaku. – AGENSI














