PETALING JAYA – Seorang penduduk kecewa dengan tindakan jirannya didakwa menjual barangan basah di hadapan rumah sekali gus menyebabkan bau busuk dan hanyir serta mengundang kehadiran lalat di kawasan tersebut.
Menerusi hantaran Threads Mraothmn, dia memuat naik beberapa gambar keadaan rumah jirannya yang dipenuhi tong-tong ikan seolah-olah seperti di pasar.
“Jiran saya jual ikan kat depan rumah yang macam kat pasar tu sampai banyak lalat dan bau ikan hanyir kat sekitar kawasan tu.
“Lepas tu tepi-tepi rumah saya mana yang ada ruang untuk parking, semua dicop dan letak kon atau baldi sebab senang pelanggan dia nak datang.
“Dah pernah lapor kat WhatsApp Majlis Perbandaran Ampang Jaya tapi tak jalan. Ada cara tak nak lapor benda ni,” katanya pada hantaran berkenaan.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang mengecam perbuatan jiran tersebut, selain ada yang mencadangkan supaya aduan dibuat secara beramai-ramai.
“Bau kot, bau air ikan tu. Allah, tak jaga betul adab dengan jiran orang sekarang,” kata Hanazaarra.
“Dia punya bau pasti busuk hanyir. Jangan buat main dengan air ikan ni,” kata Im Rozman.
“Pakat dengan jiran-jiran buat laporan di pejabat tu ramai-ramai,” komen Azah8129. – KOSMO! ONLINE















