KUALA KANGSAR – Sebanyak 25,000 pokok durian hibrid Mardi Super 88 (MS88) telah ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2021.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penanaman varieti durian itu kini meliputi kawasan seluas kira-kira 242.8 hektar di seluruh negara.
Katanya, antara negeri yang menerima bekalan anak pokok MS88 ialah Melaka, Selangor dan negeri-negeri Pantai Timur, selain penanaman turut diperluaskan ke beberapa negeri lain.
“Mardi telah menghasilkan tiga varieti durian premium sejak awal tahun 2000, dengan yang paling popular ialah Mardi Super 88 (MS88) atau nama asalnya MDUR88.
“Dua lagi varieti yang dibangunkan ialah MDUR78 dan MDUR79, menjadikan ketiga-tiganya sebagai varieti durian premium hasil penyelidikan dan pembangunan Mardi,” katanya pada Program Duriotourism Mardi Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi Mardi Kuala Kangsar, di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira tiga varieti baharu yang sedang berada dalam fasa akhir penilaian bagi memastikan hibrid berkenaan memenuhi cita rasa penggemar durian selain sesuai ditanam secara komersial oleh petani.
“Nama bagi varieti baharu itu masih belum diputuskan dan hanya akan diumumkan apabila ia dilancarkan secara rasmi.
“Kita juga mahu pelancaran dibuat ketika musim durian supaya orang ramai berpeluang merasai sendiri buah yang diperkenalkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














