UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) membuktikan bahawa proses pembelajaran seorang mahasiswa perubatan tidak hanya terhad di dalam dewan kuliah semata-mata.
Sebaliknya, pendedahan lapangan menerusi aktiviti khidmat masyarakat dan pengurusan logistik di kawasan pedalaman menjadi platform terbaik untuk mereka mendekati komuniti Orang Asli secara langsung.
Pengalaman berharga inilah yang dirasai oleh 28 mahasiswa universiti tersebut menerusi Program UKM Outreach to Orang Asli (OTOA) 2026 yang berlangsung di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu merupakan anjuran Fakulti Perubatan UKM bersama One Health Student Club di bawah jaringan Malaysian One Health University Network (MYOHUN).
Misi khidmat masyarakat dan kawalan penyakit zoonotik ini bukan sahaja menggabungkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari tahun satu hingga lima, malah turut membabitkan pelajar dari jurusan Kejururawatan, Perubatan Kecemasan dan Bioperubatan, selain penyertaan tiga doktor daripada program Sarjana Kesihatan Awam Perubatan.
Bagi wakil peserta yang juga pelajar Doktor Perubatan Tahun 4 UKM, Syafeeq Mohd. Zakir Hussin, 23, program luar dewan kuliah seperti ini memberikan impak yang sangat mendalam buat dirinya dan rakan-rakan.
“Menyertai program ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga bagi kami semua. Kami bukan sahaja dapat mengaplikasikan ilmu perubatan yang dipelajari, malah dapat memahami dengan lebih mendalam cabaran kesihatan yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli.
“Interaksi langsung dengan mereka membuka mata kami tentang kepentingan pendekatan holistik dalam penjagaan kesihatan,” ulas Syafeeq kepada K! Kampus.
Dalam pada itu, dia turut menceritakan bagaimana fasa awal pengembaraan mereka bermula demi menjayakan misi khidmat masyarakat tersebut.
“Kami bertolak secara berkumpulan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Kuala Lumpur sekitar pukul 9 pagi dan tiba di Pos Lenjang pada pukul 4 petang.
“Sebaik sahaja sampai, kami terus bekerjasama membungkus barangan keperluan asas seperti ubat gigi, sabun mandi dan sabun basuh baju untuk diagihkan kepada hampir 200 masyarakat Orang Asli mengikut kawasan kampung.
“Namun, cabaran sebenar buat kami bermula pada hari kedua apabila perlu bergerak ke perkampungan sasaran yang memakan masa 30 minit perjalanan,” kongsinya lagi.
Disebabkan laluan yang sempit dan berbukit tidak lagi boleh menggunakan kenderaan, para mahasiswa terpaksa mendaki dan berjalan kaki selama kira-kira 20 minit sambil memikul barangan sumbangan serta peralatan perubatan.
Bagaimanapun, keletihan tersebut hilang begitu sahaja sebaik melihat senyuman ikhlas dan sambutan mesra daripada penduduk tempatan yang terlibat.
Bagi mendekati penduduk, mereka terlebih dahulu memperkenalkan diri dan menerangkan tujuan kehadiran agar masyarakat memahami objektif program serta berasa lebih selesa untuk memberikan kerjasama.
Langkah mahasiswa perubatan ini kemudiannya diteruskan dengan pembukaan pusat sehenti di dewan kampung bagi memulakan aktiviti saringan kesihatan buat komuniti setempat.

Menerusi inisiatif tersebut, Fakulti Perubatan UKM telah menjalinkan kerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Lipis.
Sebelum tugasan bermula, pihak PKD terlebih dahulu memberikan tunjuk ajar dan taklimat ringkas mengenai kaedah pengendalian kesihatan di lapangan.
Selepas diajar oleh pihak PKD, para pelajar mengambil alih tugasan mengambil sampel Blood Film for Malaria Parasite (BFMP) daripada penduduk secara bergilir-gilir supaya semua peserta mendapat pengalaman klinikal yang sebenar.
Bukan itu sahaja, mereka turut didedahkan dengan taklimat penggunaan kelambu berubat serta teknik semburan residu atau Outdoor Residual Spraying (ORS) untuk mengawal populasi nyamuk.
Malah, pihak PKD Lipis turut menyediakan sesi pembelajaran yang sangat interaktif dengan membawa mikroskop dan slaid darah ke tapak program.
Melalui pemerhatian mikroskopik tersebut, para mahasiswa berpeluang melihat sendiri fasa perkembangan malaria dalam sel darah merah serta mengenali ciri morfologi pelbagai spesies Plasmodium, sekali gus memperkukuhkan pemahaman mereka tentang diagnosis makmal penyakit tersebut.
Menurut Syafeeq, selain fokus kepada aspek saringan kesihatan orang dewasa, kesihatan preventif dalam kalangan generasi muda Pos Lenjang turut diberi penekanan menerusi aktiviti pendidikan teknik mencuci tangan dan memberus gigi yang betul.
Uniknya, mahasiswa menggunakan Glo Germ sebagai alat pembelajaran interaktif di mana lampu ultraviolet (UV) digunakan untuk menyuluh tangan kanak-kanak selepas membasuh tangan bagi mengenal pasti sisa kuman yang masih melekat.
Tambahnya, komitmen padu itu ditunjukkan melalui barisan mentor yang hadir iaitu Prof. Dr. Azimatun Noor Aizuddin selaku Penasihat Program dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam UKM serta bimbingan dua doktor pensyarah perubatan pelatih.
Turut sama memberikan sokongan kuat ialah Pegawai Kesihatan Daerah Lipis, Dr. Shafizah Mohd Shafei yang membuktikan komitmen tinggi agensi luar dalam menyediakan wacana pembelajaran langsung.
Kehidupan di tapak perkhemahan turut mendidik erti kebersamaan apabila para mahasiswa sentiasa bergotong-royong membantu dalam urusan pembersihan dan mencuci peralatan makan selepas setiap hidangan yang disediakan.
Sebelum bergerak pulang ke HCTM pada hari ketiga, para peserta memulakan pagi dengan sesi senamrobik sebelum mengadakan lawatan ke Klinik Desa Pos Lenjang.
Di sana, mereka mendengar perkongsian daripada seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Megat mengenai fungsi klinik desa dalam memastikan akses kesihatan komuniti Orang Asli serta realiti kes kesihatan yang lazim ditemui di kawasan pedalaman.
Syafeeq menegaskan bahawa pendedahan seperti ini sangat penting dalam membentuk nilai kemanusiaan yang tinggi bagi seorang pengamal perubatan.
“Manfaat yang kami peroleh bukan sekadar akademik, tetapi juga pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan, dan empati.
“Ini adalah persediaan terbaik untuk menjadi doktor yang lebih prihatin di masa hadapan,” jelasnya.
Dia berharap program berbentuk kerja lapangan ini dapat diteruskan lagi secara meluas dengan penglibatan peserta yang lebih ramai pada masa hadapan agar pelajar mendapat pengisian kesihatan yang tidak boleh didapati daripada kuliah semata-mata.














