SEBERANG PERAI – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memperkemaskan garis panduan berkaitan pengurusan jenazah di seluruh negera susulan isu kelewatan urusan pengebumian jenazah yang tular di Selangor, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan garis panduan sedia ada lebih tersusun dan dapat dijadikan rujukan yang lebih komprehensif kepada pihak berkaitan.
Menurutnya, beberapa negeri sememangnya telah mempunyai garis panduan masing-masing, namun terdapat perkara baharu yang memerlukan penelitian serta penambahbaikan.
“Kita memang sudah ada perbincangan (memperkemaskan garis panduan), cuma di peringkat kami, di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM, kita sekarang ini sedang membangunkan garis panduan supaya boleh dijadikan rujukan.
“Kita akan lakukan secepat mungkin. Kita akan lakukan bersesuaian dengan mengambil kira keperluan dan juga enakmen serta undang-undang yang diperlukan. Namun begitu, barangkali tidaklah terlalu lama (tempoh yang diambil) kerana sudah ada yang dah ada, tetapi kita ingin memperkemaskannya lagi,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan kelewatan pengebumian jenazah hampir sejam di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor sehingga mendapat perhatian ramai, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu lagi, kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk ditangani dengan sewajarnya.
“Isi ini kita serahkan kepada pihak berkuasa agama JAIS dan MAIS, mereka memang bijaksana untuk menangani dengan tuntas dan sebaiknya.
“Kita yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik. Doakan supaya kita dapat laksanakan sebaiknya dan kepada semua, marilah kita sama-sama menanganinya dan bukannya kita memporak-perandakan ataupun kita sama-samalah bantu-membantu,” tambahnya.
Baru-baru ini, media melaporkan MAIS mengarahkan satu pertemuan segera melibatkan semua pihak berkaitan bagi meredakan kemelut susulan dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.
Pengerusinya Datuk Salehuddin Saidin dilaporkan berkata, pertemuan itu akan membabitkan wakil MAIS, waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta wakil JAIS.
Sebelum itu, seorang lelaki mendakwa pengebumian jenazah anaknya tertangguh hampir sejam selepas berlaku pertikaian berhubung caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 yang didakwa dikenakan oleh sebuah badan khidmat pengurusan jenazah. – KOSMO! ONLINE














