PETALING JAYA – Sebuah Honda Civic Ferio berdepan detik cemas apabila terpaksa membrek mengejut sehingga tayarnya berasap sebelum merempuh bahagian belakang sebuah bas ekspres yang dipercayai menukar lorong secara tiba-tiba di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.46 petang sebelum kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang itu dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum video berkenaan tular di media sosial Threads.
Berdasarkan rakaman tersebut, pemilik video dilihat sedang memandu di lorong kanan, manakala sebuah kereta Honda Civic Ferio berada di hadapannya.
Beberapa saat kemudian, sebuah bas ekspres yang berada di lorong kiri dipercayai menukar laluan ke lorong kanan secara mengejut selepas terdapat sebuah treler di hadapannya.
Tindakan itu menyebabkan pemandu Honda Civic Ferio berkenaan dipercayai brek mengejut sebelum asap tebal kelihatan keluar daripada tayar kenderaan terbabit.
Bagaimanapun akibat tidak sempat membrek, berlakunya perlanggaran antara bahagian hadapan Honda Civic Ferio dengan bahagian belakang bas berkenaan.
Lebih mengejutkan, bas terbabit dilihat terus memecut meninggalkan lokasi kejadian, sebelum pemilik video bertindak mengejar kenderaan itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan.
Perkongsian video oleh pengguna Threads, @sharifahzety, turut menarik perhatian ramai apabila dia memaklumkan tidak dapat berhenti di lokasi kejadian berikutan kenderaan di belakangnya dipandu laju.
“Saya tak dapat berhenti sebab kereta belakang laju, tapi saya mampu kejar bas untuk nombor pendaftaran.
“Harap pemilik kereta selamat dan dua-dua pihak dapat selesaikan dengan cara baik. Sesiapa ada info untuk pemilik sila tag dan kongsi ya,” katanya dalam hantaran tersebut.
Setakat ini, hantaran itu meraih lebih 106,000 tontonan selain menerima ribuan reaksi dan ratusan komen daripada netizen yang rata-ratanya meminta pemilik Honda Civic Ferio tampil membuat laporan polis.
“Allahuakhbar, semoga dipermudahkan urusan yang terlibat kemalangan. Bukan nak kata lah, sepanjang aku balik menghala ke Kedah ni. Bas ke lori ke treler semua sama bagi ‘signal’ hanya sekali ‘beepm, terus masuk lorong,” komen @Put.sya.
“Yang cakap kereta tu salah memang pemandu bebal. Ingat bas bagi ‘signal’ lama ke kejap ke boleh masuk loronh terus ke? Tunggu kosong jalan dulu baru masuk lorong,” komen @Farhana pula. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














