JOHOR BAHRU – Kegiatan dua buah kilang di kawasan perindustrian Larkin, di sini menggaji pekerja asing tanpa tanpa izin (PATI) terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Johor, semalam.
Serbuan menerusi Ops Mahir yang dilaksanakan pada pukul 9 pagi itu menyasarkan premis memproses komponen jam dan kilang pengeluaran makanan ringan popular.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 80 warga asing ditahan dipercayai bekerja tanpa pas atau permit sah selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Turut ditahan seorang warga tempatan disyaki pegawai sumber manusia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Difahamkan, operasi itu dilakukan selepas pihak berkuasa menjalankan pemantauan selama beberapa minggu susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang disyaki menggaji warga asing secara tidak sah bagi mengurangkan kos operasi.
Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki warga Pakistan, 16 lelaki Bangladesh, sembilan lelaki Indonesia, enam lelaki Myanmar, 13 wanita Indonesia dan 31 wanita Myanmar berusia 19 hingga 48 tahun.
Kesemua warga asing itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














