PETALING JAYA – Kehadiran anak sulung Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri, Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan semalam ternyata membuatkan ramai teruja.
Berita gembira tersebut turut diserikan lagi melalui sekeping gambar Paduka Cucunda Puteri Tengku Nadine Amina Zahra yang dikongsikan di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Di dalam gambar tersebut diperlihatkan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memangku cucunda baginda di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Dakapan pertama buat cucunda tersayang. engku Ampuan Pahang bersama anakanda sulung Tengku Nadine Amina Zahra Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah di sebuah hospital di Kuala Lumpur,” katanya hari ini.
Menerusi hantaran terdahulu, pasangan diraja berkenaan telah memilih nama yang cukup indah dan sarat dengan doa buat puteri sulung mereka, iaitu Tengku Nadine Amina Zahra.
Berdasarkan grafik yang dikongsikan, nama Nadine membawa maksud sebuah harapan yang menjadi lambang keyakinan terhadap masa hadapan, selain membawa maksud sinar serta permulaan yang penuh dengan rahmat.
“Bagi nama Amina pula, ia membawa makna amanah, jujur, setia, dan boleh dipercayai. Pemilihan nama tersebut juga adalah bersempena dengan nama bonda Rasulullah SAW, Sayidatina Aminah binti Wahb, yang sekali gus melambangkan kemuliaan akhlak, ketulusan, serta keamanan,” katanya pada hantaran tersebut.
Sementara itu, nama Zahra membawa maksud berseri-seri, bercahaya, mekar, dan bersinar. Nama berkenaan merupakan gelaran yang amat mulia bagi puteri kesayangan Rasulullah SAW, Sayidatina Fatimah al-Zahra’ RA, yang melambangkan kesucian, kemuliaan, dan cahaya iman.
Secara keseluruhannya, gabungan nama Tengku Nadine Amina Zahra membawa maksud yang sangat mendalam iaitu harapan yang diamanahkan oleh Allah, yang bersinar dengan cahaya iman, atau membawa takrifan seorang anak yang membawa harapan, memiliki sifat amanah, serta memancarkan cahaya kemuliaan.
Kosmo! semalam melaporkan, pihak Istana Pahang mengumumkan bahawa Tengku Puan Bendahara selamat melahirkan bayi perempuan berkenaan pada pukul 3.35 petang semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata meninggalkan komen ucapan selamat buat keputeraan puteri Tengku Arif Bendahara dan Tengku Puan Bendahara Pahang tersebut.
“Masya-Allah Tabarakallah. Semoga membesar menjadi anak yang solehah dn kebanggaan ibu ayah. Salam tahniah buat kedua orang tuanya juga buat Tuanku dan Tengku Ampuan Pahang atas kelahiran cucunda tercinta. Semoga bertambah-tambah bahagia dan meriah lagi Keluarga Diraja ini. Aamiin,” kata Zunaidah Yusof.
“Alhamdulillah comelnya rambut hitam lebat semoga membesar dengan sihat. Lena dalam dakapan Nenda,” ujar Wan Zahara. – KOSMO! ONLINE














