PONTIAN – Pengundi dijangka membuat penilaian ke atas parti yang menepati janji berbanding pihak yang hanya menabur janji, sekali gus mempengaruhi pola sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbandingan itu penting bagi membantu rakyat membuat pilihan dalam menentukan kerajaan yang bakal menerajui Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurut beliau, rekod pencapaian baik Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengulangi kejayaan pada PRN kali ini.
“Dengan kekuatan jentera pilihan raya BN di setiap kawasan, saya melihat tiada masalah untuk BN memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih keluarga Hamisah Rahmat di Taman Selesa Jaya, Kampung Parit Patah di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia berkata, keupayaan kerajaan negeri membantu rakyat dan pembangunan yang dapat dilihat secara nyata akan memberi kesan kepada sokongan golongan muda.
“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang dapat menunaikan janji kerana rakyat menaruh harapan terhadap masa depan mereka kepada sebuah kerajaan yang stabil dan berdaya maju,” katanya.
Tambah beliau, jentera parti perlu memainkan peranan penting dengan terus mendekati pengundi bagi memastikan mereka memperoleh maklumat jelas berkaitan manifesto yang ditawarkan pada PRN Johor kali ini. – KOSMO! ONLINE














