LALUAN ke Madison Square Garden, New York ditutup tiga hari sebagai persediaan majlis perkahwinan penyanyi, Taylor Swift dan pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Travis Kelce.
Pasangan sensasi itu dikatakan bakal mengadakan majlis makan malam esok (waktu tempatan) dihadiri 100 tetamu disusuli resepsi yang membabitkan kehadiran 1,000 jemputan pada 3 Julai iaitu sehari sebelum Hari Kebangsaan ke 250 Amerika Syarikat.
Antara selebriti terkenal yang bakal menyerikan majlis perkahwinan mereka ialah Gigi Hadid, Cara Delevingne, Selena Gomez dan Zoe Kravitz selain rakan sepasukan Kelce daripada Kansas City Chiefs.
Lebih menghangatkan spekulasi apabila timbul desas-desus menyatakan Stevie Nicks, Tim McGraw, Ed Sheeran dan Paul McCartney akan membuat persembahan istimewa pada acara tersebut.
Menurut laporan, semua tetamu dikatakan perlu menandatangani perjanjian kerahsiaan dan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit sepanjang acara berlangsung.
Pada masa sama, pemenang Anugerah Grammy itu dilaporkan memilih merakam majlis perkahwinannya hanya untuk simpanan peribadi.
Dia didakwa sudah menolak beberapa tawaran bernilai jutaan dolar daripada pihak televisyen yang ingin menyiarkan majlis itu secara langsung serta ingin mendapatkan hak penyiaran eksklusif.
Portal hiburan TMZ turut mendakwa arena serbaguna ikonik di tengah Manhattan itu ditata rias dengan hiasan mewah termasuk pembinaan replika istana.
Difahamkan, sejak beberapa hari lalu, orang ramai dan media dilihat berkumpul di luar lokasi selepas beberapa trak serta kru membawa masuk pelbagai kelengkapan.
Menjadi antara majlis perkahwinan selebriti berprofil tinggi, bakal pengantin juga dikatakan tidak lokek membelanjakan lebih RM40 juta bagi keseluruhan majlis membabitkan acara dua hari itu.
Sumber mendakwa tempahan venue bertaraf dunia itu mencecah RM1 juta sehari, belum termasuk makanan, logistik serta perbelanjaan lain terutama baju pengantin
Begitupun, Pengerusi Metropolitan Transport Authority, Janno Lieber berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan perkahwinan tersebut, namun menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Ini kerana katanya, kesesakan dijangka bakal berlaku memandangkan permit penutupan jalan ke gelanggang NBA (National Basketball Association) itu sudah diluluskan pihak berkuasa tempatan.
Namun, kedua-dua wakil personaliti popular itu tidak mengesahkan sebarang kenyataan walaupun berita mengenai persiapan hari bersejarah mereka rancak diperkatakan terutama di media sosial.
Ketika ini jet peribadi Swift, 36, dilaporkan sudah mendarat berhampiran New York manakala Kelce pula dilihat beberapa kali berjoging di sekitar Manhattan.
Sementara itu, Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani turut mencuit perhatian apabila memuat naik video di media sosial yang secara berseloroh menyebut ‘ada individu menyewa Madison Square Garden untuk berkahwin’ sekali gus menguatkan andaian ramai.
Terdahulu, Swift dan Kelce yang menjalin hubungan cinta pada September 2023 mengumumkan pertunangan pada Ogos tahun lalu. – HIBGLAM














