JAKARTA – Pihak berkuasa Aceh merotan secara terbuka sepasang kekasih hari ini, seperti yang disaksikan wartawan AFP, selepas mereka bercium dalam rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Lelaki dan wanita yang umur mereka tidak didedahkan itu masing-masing menerima 21 sebatan rotan di sebuah taman awam di ibu kota wilayah Aceh, Banda Aceh.
Berpuluh-puluh orang menyaksikan hukuman rotan itu, dengan segelintir daripada mereka meminta pegawai yang melaksanakan hukuman supaya ‘mengenakan sebatan dengan lebih kuat’, demikian menurut pemerhatian wartawan AFP.
Pasangan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa selepas mereka dilihat bercium semasa siaran langsung di aplikasi video TikTok. Insiden itu mengundang siasatan sehingga membawa kepada hukuman mereka, kata ketua polis syariah Banda Aceh, Muhammad Rizal, kepada pemberita hari ini.
“Mereka jelas melanggar syariat Islam,” kata Rizal sambil menambah, ini kali pertama di wilayah Aceh di mana orang ramai dihukum kerana melanggar undang-undang syariah melalui media sosial.
Tindakan kemesraan fizikal seperti bercium, berpelukan atau bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah dilarang di Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan versi undang-undang Islam. – AFP














