PETALING JAYA – Program Budi Diesel memberi manfaat kepada 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara, sekali gus membantu memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, program itu bukan sahaja membolehkan rakyat membeli diesel pada harga RM2.10 seliter, malah memastikan subsidi tidak lagi mudah diseleweng.
Katanya, sebelum ini subsidi diesel di Sabah dan Sarawak diberikan secara pukal, namun kini hanya pemilik kenderaan diesel persendirian yang berdaftar boleh menikmati tawaran tersebut dengan menggunakan MyKad.
“Langkah ini membantu mengurangkan ketirisan, khususnya di kawasan sempadan. Atas sebab itu, 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian kini menerima manfaat Budi Diesel melibatkan 400,000 pemilik di Semenanjung dan 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding pelaksanaan sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fuziah, peningkatan jumlah penerima itu membuktikan pendekatan penyasaran subsidi berjaya memperluaskan manfaat kepada rakyat tanpa menjejaskan usaha membanteras penyelewengan.
Katanya, KPDN bukan sahaja bertanggungjawab melaksanakan dasar, malah sentiasa memantau pelaksanaannya di lapangan.
“Tugas kami bukan sekadar melaksanakan dasar tetapi memantau dan turun padang supaya setiap ringgit subsidi benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














