PETALING JAYA – Lima warden Penjara Taiping akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak esok atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam kejadian di penjara itu pada Januari tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, keputusan itu diambil selepas siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut telah selesai dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikembalikan pada 29 Jun lalu dengan arahan supaya menuduh lima warden mengikut beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.
“Seorang warden akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, manakala dua lagi akan dituduh di bawah Seksyen 323 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan.
“Selain itu, dua lagi warden akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pertuduhan terhadap lima warden tersebut melibatkan tiga mangsa yang mengalami kecederaan dan akan dibuat di Mahkamah Majistret Taiping pada pukul 9 pagi esok.
Pada 19 Disember 2025, seorang warden penjara didakwa di Mahkamah Majistret Taiping di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat berhubung insiden sama.
Kumar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta memandangkan prosiding pertuduhan akan bermula bagi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.-KOSMO! ONLINE














