fbpx
Operasi berkenaan berjaya menangkap pemandu lori positif ketum (baju hijau dan merah) dalam Operasi Perdana Bilangan 3 Tahun 2026 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di empat daerah di Negeri Sembilan. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

‘Tak minum ketum, tak boleh kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Alasan mahu menambah tenaga ketika bekerja antara punca ramai pemandu lori dikesan positif ketum dalam operasi sekatan jalan raya dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, hasil risikan pihaknya mendapati golongan pemandu lori antara yang terlibat dalam penyalahgunaan ketum, dipercayai bagi membolehkan mereka kekal bertenaga semasa memandu atau bekerja.

Menurut beliau, trend itu membimbangkan kerana pengambilan ketum secara berterusan boleh menyebabkan kebergantungan sehingga individu terbabit sukar menjalankan tugasan harian tanpa mengambil bahan tersebut.

“Berdasarkan pengalaman kita, ada individu yang kalau tidak minum ketum, dia rasa tidak boleh bekerja. Pagi kena minum, tengah hari kena minum dan petang pun kena minum.

“Kalau satu plastik ketum berharga kira-kira RM5 ke RM6, mereka boleh habiskan sekitar RM15 sehari semata-mata untuk mendapatkan bekalan ketum,” katanya ketika mengulas isu penyalahgunaan ketum dalam kalangan pemandu kenderaan berat, termasuk pemandu lori dan bas persiaran.

Zainudin berkata, ketum mempunyai kesan berbeza mengikut dos pengambilan, iaitu dos kecil boleh merangsang tubuh, manakala dos besar pula boleh memberi kesan menekan dan mengkhayalkan.

Menurutnya, keadaan itu amat berbahaya khususnya kepada pemandu lori dan bas persiaran kerana mereka membawa kenderaan besar serta melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Bahaya apabila mereka berada dalam keadaan khayal atau terlalu yakin ketika memandu. Kita bimbang mereka memandu laju atau hilang kawalan sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Menurut beliau, hasil risikan turut mendapati bekalan ketum yang diperoleh pemandu terbabit lazimnya datang daripada pembekal luar yang aktif menjual bahan tersebut kepada golongan pekerja tertentu.

Sementara itu, ketika temubual antara Zainudin dengan pemandu lori yang ditangkap positif ketum, pemandu lori berkenaan mengakui minum ketum bagi menambah tenaga kerana perjalanan jauh dari utara tanah air.

Malah, ada antara mereka juga mengakui minum ketum bersulamkan air jenama lain bagi menambah tenaga masing-masing ketika bekerja.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN