fbpx
BERDEPAN skeptikal, Mila Mohsin bertegas, jika tidak lahir sebagai anak pasangan artis pun, dia tetap akan memilih seni lakon sebagai jalan hidupnya.

‘Untuk sepikan suara kecaman, saya kena jadi luar biasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAKAT dimiliki pemilik nama Mila Mohsin bukan lagi rahsia, bahkan usahlah perlu bersuara sinis mempertikaikan itu dan ini.

Darah seni yang mengalir dalam tubuh anak kepada Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Seri Tiara Jacquelina memanaskan lagi keghairahannya untuk membuktikan kemampuan sebagai seorang pelakon.

Namanya hangat menjadi sebutan ramai dalam sekelip mata selepas diumumkan bagai pembawa peranan Gusti Putri dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLTM) yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

Tolak tepi mengenai pelbagai isu mengenai pemilihannya sebagai PGL, pemilik nama penuh Hani Karmila Hani Mohsin itu sudah menempa jutaan pujian khalayak yang menyifatkan bakat seni dimilikinya sungguh mengagumkan sekaligus layak bergelar Gusti Putri.

Membumi apabila mendengar pujian, Mila seboleh-boleh berusaha dan mencuba memberi hasil terbaik dalam setiap karya lakonan, sekali gus dan menzahirkan penghargaan kepada pihak yang sentiasa mempercayai bakat dimilikinya.

“Segan pula nak dengar pujian tetapi hakikatnya saya sedang mencuba yang terbaik. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengecewakan atau menghampakan sesiapa pun.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa percaya dengan bakat saya dan semua sokongan, doa serta semangat dikirimkan, saya dapat rasainya. Akan bawa semua itu ke mana sahaja saya melangkah,” katanya kepada HibGlam.

Mila, 29, berkata, dia bertuah kerana mewarisi darah seni daripada ibu bapa selain menganggap kekuatan yang dimiliki hari ini adalah semangat yang ditinggalkan Allahyarham Hani Mohsin.

“Saya juga sentiasa membawa nama arwah ayah dalam perjalanan seni ini.

“Semangat arwah ayah menjadi sumber kekuatan, termasuk ibu yang sentiasa menjadi tulang belakang, saya sangat bertuah, alhamdulillah,” katanya lagi.

Tambahnya, jika tidak dilahirkan sebagai anak pasangan selebriti sekalipun, dia akan tetap memilih kerjaya seni kerana minat yang mendalam.

“Sekiranya ibu bapa saya bukan pelakon sekali pun, saya tetap akan memilih jalan ini.

“Saya sendiri memang mencintai dunia seni, suka bercerita dan menyampaikan kisah-kisah yang memberi makna.

“Saya mahu menceritakan setiap kisah yang mampu memberi impak. Jadi, insya-Allah, saya akan terus memberikan yang terbaik selepas ini,” jelasnya yang sudah mendirikan rumah tangga pada Ogos tahun lalu.


IMPAK penghayatan, Mila mengambil masa beberapa bulan untuk melepaskan ‘semangat’ Maureen dalam Good Boy To Heaven dari jiwanya.

Puteri Gunung Ledang

Sedar dengan jangkaan tinggi khalayak yang diletakkan pada bahunya terutamanya sebagai PGL yang merupakan watak ikonik, dia mengakui tidak terlepas daripada berasa gentar untuk memenuhi kehendak umum.

Katanya, hadir ke sesi uji bakat watak PGL adalah keputusannya sendiri dan terpilih untuk menjadi PGL juga sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.

“Siapa tidak takut tetapi saya tiada pilihan kerana ini jalan yang dipilih sendiri. Tekanan memang akan sentiasa ada dan saya juga merasainya.

“Bagi saya untuk membuatkan ‘suara-suara’ (kecaman) itu sepi, perlu lakukan sesuatu yang luar biasa.

“Benda apa yang tidak susah dalam dunia ini, saya hanya boleh mencuba dan memberikan yang terbaik, itu sahaja,” tuturnya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Tiara untuk PGLTM, dia berkata momen tersebut disifatkan sebagai antara paling berharga dalam hidupnya.

“Secara jujur, ini adalah waktu terhebat dalam hidup saya dengan ibu. Sebelum ini hanya lihat dia bekerja sebagai pengarah dari jauh tetapi sekarang diarahkannya.

“Jadi, saya selalu mengagumi kehebatannya dalam bekerja dari jauh sahaja tetapi sekarang berbeza, dia pengarah saya.

“Ini saya bangga dan kagum serta teruja dapat menjayakan PGLTM dengan dia, memang terbaik,” katanya yang tidak terlepas dimarahi Tiara sepanjang sesi latihan.

Dalam pada itu, dia sempat berkongsi pengalaman ‘terbang’ ke Solo, Indonesia baru-baru ini yang merupakan salah satu usaha mendalami jiwa Gusti Putri.

“Kalau tanya saya tentang Solo, itu pengalaman yang mengubah hidup walaupun hanya dalam tempoh tiga hari. Tenaga di situ sangat luar biasa.

“Itu baru permulaan kerana selepas ini saya akan kembali ke sana untuk tempoh lebih lama bagi mempelajari pelbagai kursus termasuk tarian, menyanyi dan melembang (bertutur dalam nada lembut),” jelasnya.

Perancangan ke Solo selepas ini mungkin akan disertai beberapa pelakon lain, Aisha Retno, Mimi Fly dan Nadia Aqilah.


MUNCUL sebagai Maureen dalam naskhah hebat Good Boy To Heaven, Mila mengakui berdepan pengalaman sukar tidur setiap selepas menjalani penggambaran babak lakonannya. – AMIR KHALID

Good Boys Go To Heaven

Selain naskhah PGLTM, namanya turut menjadi bualan ramai disebabkan fenomena drama bersiri Good Boys Go To Heaven yang mengangkat kisah pembunuhan tragis seorang kanak-kanak lelaki.

Memegang watak Maureen, dia berkata, naskhah tersebut meninggalkan impak besar terhadapnya sehingga mengganggu emosinya setiap kali selepas tamat penggambaran.

“Kesan? Nak mula bercakap tentangnya pun sudah rasa sesak nafas, begitulah antara impaknya.

“Drama itu memberi kesan tempoh masa yang panjang. Semua pelakon yang terlibat melalui kesakitan dan kekecewaan yang sama sebab drama ini.

“Ada ketika selepas pulang ke rumah, saya menangis, sukar tidur dan mengalami mimpi ngeri. Saya berfikir tentang keluarga sendiri. Kesan berlakon dalam drama ini memang terasa,” ujarnya.

Katanya, dia mengambil masa berapa bulan untuk benar-benar melepaskan emosi Maureen yang sudah ditanam dalam jiwa sepanjang tempoh penggambaran.

“Tidak mudah dan saya berusaha untuk kembali meletakkan diri saya dalam dunia sebenar.

“Berkomunikasi dengan orang terdekat, melihat wajah mereka dan selalu mengingatkan diri bahawa saya adalah Mila. Itu antara cara dilakukan.

“Susah nak lepaskan Maureen walaupun orang cakap ini hanya drama bersiri sahaja sebab isu yang dibangkitkan berlaku di sekeliling kita setiap hari, mereka yang melaluinya sahaja fahami,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN