fbpx
Gambar hiasan

Lebih 30,000 usahawan terima pembiayaan mikro RM500 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 usahawan menerima manfaat daripada pembiayaan mikro melebihi RM500 juta yang diluluskan kerajaan dalam tempoh 15 Mei hingga 26 Jun lalu bagi membantu mereka meneruskan operasi perniagaan di tengah-tengah tekanan ekonomi global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembiayaan itu adalah sebahagian daripada peruntukan lebih RM5 bilion di bawah Program Kemudahan Pembiayaan Mikro yang disalurkan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, Mara dan Tekun Nasional.

“Kerajaan turut memperkenalkan Skim Jaminan Bantuan Kerajaan Madani bernilai RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd. (SJPP) bagi memperluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Bagi tempoh 15 Mei hingga 30 Jun 2026, SJPP meluluskan jaminan pembiayaan RM219 juta yang memanfaatkan lebih 300 PMKS, khususnya dalam sektor agro, pembinaan, logistik dan pelancongan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai langkah kerajaan memastikan peniaga kecil, penjaja dan PMKS tidak terjejas akibat tekanan ekonomi global.

Amir Hamzah berkata, SJPP turut bekerjasama dengan institusi kewangan bagi memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan serta menyediakan bantuan bayaran balik bersasar kepada PMKS yang memerlukan.

Selain itu, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan dana RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF).

“Sejak dilancarkan pada pertengahan Mei lalu, hampir RM1 bilion telah diluluskan kepada lebih 1,500 PMKS, manakala baki kira-kira RM4 bilion masih tersedia untuk permohonan seterusnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN