fbpx

‘Saya tak baca komen, fokus keluarga dan kerjaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Enggan terus dibelenggu kisah silam, penyanyi Eda Ezrin mengakui memilih untuk tidak membaca komen netizen sebaliknya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap keluarga dan kerjaya seni yang kembali rancak berkembang.

Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 31, berkata kehidupannya kini berada dalam fasa lebih tenang dan tidak lagi mahu membiarkan pandangan negatif mengganggu emosinya.

“Sekarang saya berada dalam fasa tenang, alhamdulillah semuanya okey. Buat masa ini saya buat tidak endah sahaja kalau ada orang mahu komen atau berkata apa-apa.

“Saya hanya mahu fokus kepada keluarga dan kerjaya. Itu lebih penting bagi saya sekarang.

“Saya memang tidak membaca komen netizen, biarlah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam masa sama, pelantun lagu Bea Soba Bea itu memaklumkan dirinya bukan sahaja bergantung kepada nyanyian, malah aktif menerima tawaran ulasan produk bagi menambah sumber pendapatan.

Katanya, dia juga merancang menghidupkan semula perniagaan makanan miliknya selepas semuanya kembali stabil.

“Selain menyanyi, saya juga buat ulasan produk dan menerima banyak tawaran kerja seperti itu.

“Alhamdulillah, rezeki tidak terputus. Saya ada kerja lain juga.

“Dulu saya pernah ada kedai makan dan insya-Allah selepas ini saya akan buka semula. Cuma saya buat satu demi satu,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Konsert Kelate Ke KL 2026, di sini.

Bakal menjadi antara barisan penghibur Konsert Kelate Ke KL 2026 pada 29 Ogos depan, Eda tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila diberi peluang menjayakan acara berprestij tersebut.

“Perasaan saya sangat gembira sebab peluang seperti ini bukan mudah untuk diperoleh.

“Saya dapat bertemu lebih ramai peminat dan membuat persembahan di tempat-tempat baharu, bukan hanya di Kelantan.

“Ini juga satu sejarah buat lagu-lagu Kelantan apabila dapat dipersembahkan dalam sebuah konsert besar di Kuala Lumpur,” tuturnya.

Terdahulu, pada 2 November 2024, Eda menjadi antara enam individu ditahan polis Thailand selepas serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat melibatkan rampasan 6,059 pil yaba.

Mahkamah Wilayah Narathiwat kemudian membebaskannya daripada pertuduhan memiliki dadah pada 6 Mac 2025, namun mensabitkan kesalahan mengambil dadah sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

Penyanyi berasal dari Kelantan itu akhirnya dibebaskan sepenuhnya dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat bersama suami dan empat rakannya pada 6 Ogos 2025 selepas lebih sembilan bulan ditahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN